MASA UNTUK RESET!

MASA UNTUK RESET

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera! Moga kalian yang sedang membaca nukilan ini sihat dan sejahtera hendaknya. Fuhh! Memang lama sungguh tidak berkongsi info di blog ini. Bukan tidak mahu menaip namun masa benar-benar mencemburui saya. Ditambah pula dengan permintaan penghasilan konten lebih tertumpu kini kepada media sosial menghadkan saya untuk fokus kepada blog ini yang sudah hampir dasawarsa wujud sebagai platform perkongsian informasi. 

Blog ini bermula asalnya untuk berkongsi pengalaman kembara saya serta menjadi jurnal peribadi. Namun ianya terus berkembang baik serta mula mendapat tempat dihati pembaca. Walaupun saya harus akur dengan perkembangan teknologi dan minat orang ramai kepada platform pencarian informasi berubah-ubah seiring tahun, saya tetap setia bersama blog ini. Kerana apa? Kerana blog ini lah yang menjadi permulaan kepada kerjaya saya. Blog ini lah yang menghubungkan saya kepada ramai kenalan baru dalam industri. Blog ini lah yang memperkenalkan jenama Reef Omar. Kepayahan dan kesusahan dalam membina nama dan blog ini hanya saya dan Tuhan saja tahu. Saya bermula dari kosong dan banyak masa, tenaga, wang ringgit dilaburkan demi untuk bertapak dan menjaja nama Reef Omar.

Tahun ini agak mencabar pada saya dari segi mental khususnya. Media sosial benar-benar menguji kemampuan saya sehingga ada ketika saya rasa seperti burnt out. Itu belum lagi masalah toksik di kalangan pencipta kandungan. Masing-masing mahu berada di atas sehingga sanggup menggunakan jalan pintas. Asalkan diri mendapat job dari kempen-kempen, sanggup menggadaikan nilai persahabatan yang terjalin. Itu belum lagi dengar dia bersembang seperti dialah terpaling content creator sedangkan beli follower, enggagement. Opss! Sedih memang sedih namun itulah realiti yang berlaku sekarang di dalam industri cipta kandungan. 

Bulan ini genap 2 bulan saya mendiamkan diri dari mencipta kandungan. Bukan tidak ada job namun saya mengambil pendekatan berdiam diri. Cuma tugas sebagai live host masih tetap diteruskan kerana ia tidak melibatkan akaun media sosial peribadi. Ramai kenalan rapat mula menghantar mesej bertanya khabar. Mereka mula sedar 'kehilangan' saya di media sosial. Terima kasih atas ingatan kalian yang ikhlas dan tulus dengan silaturahim ini. Saya sekadar ingin lari seketika dari dunia content creator ini. Ternyata percaturan saya tidak salah kerana saya lebih tenang dan seronok menikmati hidup. Tidak perlu pening kepala nak fikirkan konten apa yang kena buat atau kejar dateline draft content submission.

Bagi saya masa untuk reset dan recharge diri supaya saya boleh tampil all-out di tahun 2025. Yes, that is my plan dimana saya mahu tampil segar dan releven dalam industri. Kali ini saya akan lebih selektif dalam penghasilan konten sesuai dengan minat dan usia saya. Ada yang kata nak buat konten kenalah ikut trend terkini, pada saya tidak semestinya. Asalkan konten anda genuine dan bisa membantu orang ramai, anda tak perlu risau tentang konten itu mendapat enggagement tinggi atau tidak. Kita yang buat dia, bukannya konten yang buat kita bukan? Kadang-kadang saya tergelak sendiri melihat kebanjiran 'content coach' yang berkongsi teknik dan cara untuk meningkatkan views di media sosial. Adakah mereka bekerja di aplikasi media sosial itu sehinggakan 'pakar' dalam menentu kehendak media sosial itu. Nak kata ada penghasilan konten sendiri yang viral, tiada! Pendekatan saya senang! Buat sahaja konten yang anda rasa memberi nilai kepada masyarakat. Anda yang menentukan corak konten anda sendiri. 

Jadi doakan saya agar dapat kembali segar dan mendonia pada tahun 2025 nanti ya. Mungkin kolaborasi dengan nama-nama hebat dalam industri? Nantikan! Saya sayang anda semua!

0 Comments