Pengalaman Menginap Di Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie Shah Alam | Kembali kita di edisi #HotelHunting dan ini merupakan edisi istimewa sempena Ramadan 2021. Untuk pengetahuan anda, ini adalah kali pertama saya menginap di hotel pada bulan Ramadan dan pada masa sama ini merupakan pertama kali saya menginap di hotel jenama Holiday Inn. Sudah pasti saya teruja kerana saya ingin tahu bagaimana perkhidmatan dan hospitaliti yang diberikan oleh hotel ini. Adakah biliknya selesa? Adakah warga pekerja disini peramah? Adakah makanan disini sedap? Jika anda mahu tahu lebih lanjut mengenai review jujur mengenai penginapan saya di Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie Shah Alam ini, teruskan membaca bingkisan ini.
Sebagai info, Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie Shah Alam merupakan hotel dibawah pengurusan IHG Hotel yang turut mengendalikan hotel InterContinental dan Holiday Inn Ekspress. Hotel ini mempunyai sejumlah 260 bilik dengan panorama padang golf yang telah memenangi anugerah.
Bagaimana boleh terdetik di hati untuk menginap di Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie ini? Begini ceritanya. Pada awalnya, kawan saya mencadangkan untuk berbuka puasa disini dan kemudiannya terus mengajak untuk menginap 2 hari 1 malam. Bila saya menyemak harga bilik yang ditawarkan agak murah, saya terus bersetuju.
Untuk ke Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie, jika anda baru di kawasan ini, saya memang sarankan anda menggunakan sistem navigasi kerana saya sendiri sesat mencari simpang masuk ke hotel ini. Jika anda masih sesat, bangunan DRB Hicom adalah landmark ke hotel ini. Setibanya saya di perkarangan hotel, saya terkejut kerana tidak menyangka terdapat sebuah hotel ini kawasan ini. Ruang parkir terbuka memang tersedia di hadapan bangunan hotel jadi anda tidak perlu risau.
BILIK JENIS DELUXE GOLF VIEW
Saya menempah bilik jenis Deluxe Golf View menerusi Agoda. Namun di dalam Agoda, bilik jenis ini dipanggil 1 King Bed With 1 Single Bed Non- Smoking Room. Melangkah masuk ke ruang bilik, saya terganggu dengan bau seperti resort lama. Nasib baik bau ini tidak kuat. Melihat sekitar bilik dengan kondisi perabot, memang ini adalah hotel lama. Namun saya sukakan panorama padang golf dari jendela bilik serta bantal dan tilam yang cukup empuk. Kemudahan lain yang terdapat dalam bilik adalah seterika, pengering rambut, Wi-Fi, televisyen, peti ais.
BUFET RAMADAN 2021 TEMA RENTAS SELERA RAMADAN
Pertama kali berbuka puasa di Kites Restaurant Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie ini cukup mengujakan saya. Lebih 200 sajian berbuka puasa ditawarkan kepada pengunjung sepanjang Ramadan ini. Saya mendapat info, Chef Eksekutif Chef Osman mempunyai pengalaman 32 tahun dalam bidang kulinari dan ada menu yang disajikan adalah daripada resipi keluarga iaitu Gulai Kulit Lembu Dengan Batang Pisang, Masak Lemak Nangka Muda Dengan Ikan Masin And Asam Pedas Ikan Pari.
Bufet Ramadan 2021 Rentas Selera Ramadan di Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie berlangsung dari 17 APRIL – 9 MEI 2021, dari jam 7 malam sehingga 10 malam. Harga yang ditawarkan adalah:
- RM108 NET UNTUK DEWASA
- RM65 NET UNTUK KANAK-KANAK (6-12 TAHUN)
ULASAN PERIBADI TENTANG HOLIDAY INN KUALA LUMPUR GLENMARIE
Melangkah masuk ke ruang lobi, saya cukup teruja melihat dekorasi ruang ini. Gabungan vibe resort, hotel dan elemen klasik Melayu menerusi penggunaan kayu di sekeliling ruang legar lobi hotel. Urusan daftar masuk berjalan dengan lancar cuba saya rasa pekerja di kaunter hadapan harus lebih peramah kerana keramahan anda menjadi tand aras hospitaliti berada di hotel ini. Menariknya urusan daftar masuk disini, pihak hotel tidak meminta sebarang wang deposit. Pelik juga kerana sepanjang saya menginap di hotel, wang deposit adalah perkara wajib untuk menginap disini. Mungkin kerana saya sudah membayar penuh atau memang polisi hotel begitu. Allahualam.
Saya sukakan bilik yang saya tempah cuma saya kurang selesa dengan bau bilik seperti hotel/chalet lama. Saya kurang pasti kenapa. Barangkali hotel ini memang sudah lama kerana boleh dilihat kondisi perabot, suis dan pengering rambut. Nasib baik katil, bantal dan suhu penghawa dingin menjadi penyelamat kerana berada dalam kondisi terbaik. Saya tidak berkesempatan untuk mencuba fasiliti di hotel ini seperti kolam renang kerana mahu istirahat di dalam bilik sahaja.
Berbuka puasa di Kites Restaurant adalah satu pengalaman yang cukup menarik. Ini kerana saya tidak sangka bahawa hotel Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie menyajikan sajian enak. Boleh saya katakan setiap menu yang saya jamah enak belaka. Disini saya beri 5 bintang! Begitu juga dengan menu sahur yang juga tidak mengecewakan cuma saranan saya, kualiti rasa sambal Nasi Lemak mungkin boleh ditambah baik.
Secara keseluruhan, saya berpuas hati menginap di hotel Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie Shah Alam ini. Saya pasti akan kembali terutamanya untuk menikmati sajian di Kites Restaurant. Cuma saranan saya, warga kerja hotel khusus di kaunter daftar masuk kena lebih friendly kerana berada di bidang hospitaliti, itulah perkara utama yang perlu ada!
Kepada anda yang berminat untuk menginap di hotel ini, saya cukup mengalu-alukan cuma pinta saya, jangan put high expectation kepada hotel ini kerana ia adalah hotel lama. Yang pasti walaupun hotel lama, insyaAllah anda akan rasa selesa dengan katil dan bantal disini. Layari https://glenmarie.holidayinn.com untuk maklumat lanjut.
IKUTI HOLIDAY INN KUALA LUMPUR GLENMARIE SHAH ALAM DI FACEBOOK | INSTAGRAM
#HOTELHUNTING #HOTELREVIEW #HOLIDAYINNKUALALUMPURGLENMARIE
0 Comments