Sebut tentang Kari Kepala Ikan, pasti terfikir tentang kedai mamak bukan? Tapi tahukah anda bahawa ada sahaja kedai makan selain kedai mamak yang menjual kari kepala ikan sedap di Lembah Klang khususnya di Shah Alam. Tidak dinafikan Shah Alam memang lubuk makanan kerana disini terdapat pelbagai jenis pilihan kedai makan yang menarik untuk dicuba. Tapi kalau anda mencari kedai makan yang menjual Kari Kepala Ikan sedap dan harga berpatutan, anda mesti singgah di restoran D’Warees Resipi yang terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam.
Bagi peminat setia Kari Kepala Ikan D’Warees Resipi pasti sedia maklum yang restoran ini dahulunya pernah beroperasi di Batu Tiga Shah Alam dan sejak Oktober 2020, ia telah berpindah ke lokasi baharu di Jalan Opera A U2/A Taman TTDI Jaya, Shah Alam. Kunjungan saya ke restoran D’Warees Resipi Taman TTDI Jaya baru-baru memang semata-mata ingin merasai Kari Kepala Ikan kerana rata-rata review yang saya baca mengatakan Kari Kepala Ikan disini memang menjadi kegilaan ramai dan harganya cukup berpatutan.
Tidak sukar mencari lokasi restoran D’Warees Resipi Taman TTDI Jaya ini kerana ia terletak di bahagian paling hujung (corner lot). Ruang restoran juga agak luas dan bersih, jadi ia secara tidak langsung memberi keselesaan kepada pelanggan yang datang menjamu selera. Ruang parkir juga memang mudah didapati berhampiran dengan restoran ini.
APA YANG MENARIK DENGAN KARI KEPALA IKAN D’WAREES RESIPI
Antara kelebihan Kari Kepala Ikan D’Warees Resipi adalah pelanggan boleh memilih jenis ikan yang diingini seperti Ikan Merah, Jenahak, Kerabu dan Mayong. Saya diberitahu, setiap hari restoran D’Warees Resipi menjual sehingga 50-70 ketul Kari Kepala Ikan yang dimasak menggunakan resipi keluarga berusia lebih 30 tahun. Kari Kepala Ikan yang sedap bukan sahaja kerana kuah karinya tetapi haruslah menggunakan ikan yang segar jadi saya diberitahu pemilik restoran ini, Encik Ahmad Tarmizi bin Khalid dan isteri, Puan Akmalzulaila binti Mohamad akan ke pasar borong seawal 4 pagi untuk mendapatkan bekalan ikan segar.
ENCIK AHMAD TARMIZI DAN PUAN AKMALZULAILA BERSAMA ANAK MEREKA |
Tidak dinafikan, saya adalah seorang penggemar kari termasuk Kari Kepala Ikan. Namun secara jujur, sukar untuk saya mendapatkan Kari Kepala Ikan bukan dari kedai mamak yang sedap. Bukan saya tidak menggemari Kari Kepala Ikan di kedai mamak tetapi rasa kuah karinya terlalu berempah dan harganya pula agak mahal. Namun bila saya mencuba sendiri Kari Kepala Ikan D’Warees Resipi ini, barulah saya mengerti kenapa rata-rata pengunjung yang pernah makan disini memberi maklum balas positif. Kuah karinya yang cukup rasa dan rempah, kepala ikan segar dan harganya pula murah. Satu perkara lagi yang saya suka tentang Kari Kepala Ikan D’Warees Resipi adalah saya boleh memilih jenis ikan yang saya suka sebab tidak semua orang suka ikan yang sama bukan!
MENU LAIN DI RESTORAN D’WAREES RESIPI
Selain menu Kari Kepala Ikan, restoran D’Warees Resipi juga mempunyai variasi menu yang turut memikat selera antaranya Kari Kambing, Kari Daging Masak Lemak Nangka, Asam Pedas, Kurma Daging, Rendang Ayam, Pajeri Nenas dan banyak lagi. Malah, jika anda penggemar kuih-muih Melayu, D’Warees Resipi juga menyediakan pilihan kuih seperti Onde-Onde, Lepat Pisang, Kuih Lompang, Puteri Ayu dan sebagainya.
Jadi kepada anda yang mencari Kari Kepala Ikan sedap dan harga berpatutan, saya cukup sarankan anda untuk singgah di restoran D’Warees Resipi Taman TTDI Jaya ini. Restoran ini cukup mesra keluarga kerana seleksi menu yang ditawarkan disini sesuai dinikmati dari kanak-kanak hingga dewasa. Sebagai informasi tambahan, restoran D’Warees Resipi pernah muncul sebagai restoran pilihan Jalan-Jalan Cari Makan, Wanita Hari Ini serta beberapa paparan media digital. Malah restoran ini pernah dikunjungi oleh beberapa selebriti tempatan seperti Zizan Razak, Dato’ Jamal Abdillah, Linda Rafar dan Kumpulan Ruffedge.
IKUTI D’WAREES RESIPI DI FACEBOOK | INSTAGRAM .
LOKASI D’WAREES RESIPI
NO. 26, JALAN OPERA A U2/A,
TAMAN TTDI JAYA, SEKSYEN U2,
40150 SHAH ALAM, SELANGOR.
-
TELEFON: 017-3242140/017-3663987
-
WAKTU OPERASI:
6.30 PAGI – 5 PETANG (TUTUP SETIAP JUMAAT)
#FOOD #REVIEW #DWAREESRESIPI #HARIHARIMAUKARI
0 Comments