EZRA KAIRO PERTARUH ‘KAU TIADA’ SINGLE MELAYU PERTAMA

EZRA KAIRO PERTARUH ‘KAU TIADA’ SINGLE MELAYU PERTAMA

Nama Ezra Kairo mungkin masih terlalu asing di arena seni. Malah pemilik nama penuh Daniel Ezra Mohd Shafiq Nickleson ini sendiri selesa berada di bawah radar arus perdana hingga kini. Dalam erti kata lain, jejaka India Muslim atau Mamak berusia 19 tahun ini selesa menggelarkan dirinya sebagai penyanyi ‘underground’

Penuntut diploma tahun akhir jurusan perniagaan di sebuah kolej tempatan ini mula aktif memuat naik lagu nukilan liriknya di platform digital termasuk di YouTube sejak tahun lalu. Malah kalau mahu disingkap plot cerita Ezra juga seperti penyanyi dan komposer muda YonnyBoii yang dibuli ketika di bangku sekolah kerana ‘keunikan’ yang ada pada mereka. 


“Fasa genting dalam hidup saya ketika di sekolah menengah dalam Tingkatan Satu. Dilahirkan dalam keluarga India Muslim, saya tak lepas diejek dan dibuli. Malah pelbagai gelaran yang diberikan kepada saya cukup menyesakkan hati.

“Warna kulit saya juga jadi modal usikan dan ejekan. Saya berdepan trauma yang memeritkan. Umpama diri ini tiada hati dan perasaan,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik ini bagaimanapun tidak terus hanyut dengan kesedihan dan trauma, dia menjadikan muzik sebagai ruang berkongsi curahan isi hati.


EZRA KAIRO PERTARUH ‘KAU TIADA’ SINGLE MELAYU PERTAMA


“Muzik umpama escapisme atau cara saya bangkit melupakan apa saja yang melemahkan. Saya alihkan apa saja rasa yang tidak enak dengan muzik dan menulis lirik khususnya.

“Saya juga mula menyertai pertandingan nyanyian di sekolah. Secara rasmi saya berjinak jinak secara serius dalam nyanyian tahun lalu,” katanya.

Ezra sebenarnya memiliki album EP memuatkan lima buah lagu berbahasa Inggeris di Spotify sejak Februari lalu.

“Saya terdetik bikin album EP itu selepas putus cinta dengan kekasih. Biasalah cinta monyet. Saya luahkan getar rasa dalam lirik lagu. Salah satu lagu yang dimuatkan dalam album EP itu berjudul Leave Me. Sampai ada kawan gelarkan saya Adele versi lelaki kerana kami masing masing menyanyikan lagu patah hati atau melara jiwa.

“Nama saya sedikit meledak Mac lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa ketika mempromosikan lagu Come Thru. Tanpa diduga dengan bantuan dan akses dimiliki aplikasi TikTok, lagu itu diminati sampai ke Afrika Selatan, India, Brunei, Rusia, Mauritius, Maldives, Singapura dan Indonesia.

“Alhamdulillah lagu itu berkisar soal kehidupan kena diteruskan walau apa jadi termasuk gagal dalam bercinta. Ramai yang boleh rasa dekat dengan lagu itu. Lalu impian saya untuk hubungkan muzik dengan kehidupan manusia dianggap berjaya di situ,” katanya sambil memaklumkan lagu Wait For Me turut diputarkan di stesen radio Hits FM.

Selepas muncul dengan beberapa buah single dan EP berbahasa Inggeris, Ezra kini optimis untuk tampil dengan single bahasa Melayu pula berjudul Kau Tiada. 


EZRA KAIRO PERTARUH ‘KAU TIADA’ SINGLE MELAYU PERTAMA


“Lirik lagu Kau Tiada saya tulis dalam bahasa Inggeris. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan bantuan kawan saya yang juga penyanyi dan peserta Big Stage, Amir Hassan

“Lagu ini mengenai rasa kehilangan apabila orang yang kita sayangi sudah tiada. Ia tidak hanya tertakluk kepada kekasih semata mata. Tapi dengan sesiapa saja yang kita rapat.

“Saya sendiri kehilangan bapa tersayang di usia tiga tahun. Saya yakin ramai yang sudah terbiasa melalui fasa kehilangan. Bukan sesuatu yang mudah melawan fasa sebegitu, namun hidup harus diteruskan,” katanya

Ezra memilih untuk melancarkan teaser Kau Tiada itu hari ini (Jumaat) di platform YouTube, Tiktok dan media sosial lain. 


“Saya sempat mempromosikan sedikit lagu itu di Instagram, Twitter dan Facebook beberapa hari lalu. Maklum balas yang diperoleh cukup positif. Tiada aral saya akan lancarkan lagu itu 25 November ini,” katanya. 

Peminat tegar kepada bintang seni seperti Ed Sheeran, Chris Brown dan Faizal Tahir ini bagaimanapun belum terfikir untuk melahirkan album penuh sekali gus ke arus perdana.

“Album penuh belum lagi rasanya. Saya masih anggap diri ini mentah dan hijau. Namun saya serahkan semua itu berbalik kepada soal masa dan ruang”.

“Cukup saat ini, saya kongsi bakat yang ada ini kepada mereka yang meminati perjuangan muzik ini,” katanya yang memiliki hampir 20000 pengikut di Instagram @ezrakairo .



#REEFISM #REEFISMTERRITORY #HIBURAN #MUZIK

0 Comments