Seluruh pelusuk dunia terkesan dengan pandemik Covid-19. Kesan ini telah merencatkan kehidupan harian sejagat. Banyak sektor terpaksa mencari kaedah alternatif untuk terus bernafas dalam bidang yang diceburi. Namun jika dilihat dari sisi positif, musibah ini memberi hikmah kepada warga dunia. Manusia menjadi lebih kreatif dan mula berfikir di luar kotak untuk survival hidup. Ini termasuklah industri seni budaya yang selama ini menjadikan ruang pentas sebagai curahan idea mereka.
Demi terus memartabatkan seni budaya Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia membawakan Gerak Angin, sebuah festival persembahan seni secara maya pertama di Malaysia. Festival Gerak Angin yang dianjurkan oleh Masakini Theatre Company, Sutra Foundation dan Surprise Ventures ini tampil membawakan warisan seni dan budaya Malaysia menerusi medium digital kepada penonton.Festival Gerak Angin yang berlangsung pada 16 September 2020 sehingga 2 Oktober 2020 ini akan membawakan anda 17 jenis persembahan seni dari muzik, tarian dan teater dengan menghimpunkan lebih 200 warga kerja termasuk artis, jurukamera, krew penataan cahaya dan banyak lagi.
Majlis perasmian Festival Gerak Angin telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di Studio Ramli Hassan, Taman Tunku baru-baru ini. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Puan Sri Sabera Shaik, pengasas Masakini Theatre Company, Datuk Ramli Ibrahim Pengerusi Sutra Foundation, Vivek Menon selaku rakan kongsi utama Surprise Ventures dan juga beberapa def kehormat yang lain.
Pada majlis sama, para tetamu telah dipertontonkan dengan episod pertama Gerak Angin, Beringin Sakti 2.0 oleh Geng Wak Long yang memaparkan seni tradisi dari negeri Kelantan.
Setiap episod dalam Gerak Angin telah dirakamkan secara definisi tinggi 4K di Studio Ramli Hassan dan beberapa lokasi terpilih akan membawa penonton pengalaman berbeza menyaksikan persembahan seni budaya tanahair. Setiap episod dalam Gerak Angin akan berlangsung selama 10-15 minit. Antara persembahan yang bakal ditayangkan merangkumi persembahan muzikal oleh Geng Wak Long, KL Jazz & Arts Centre dan Pusat Budaya Pusaka. Manakala persembahan tarian pula melibatkan penyertaan produksi Sutra Foundation, Dua Space Dance Theatre dan Cempaka Performing Arts Company. Bagi persembahan teater pula, produksi yang mengambil bahagian adalah Shakespeare Players, STEPS, ACX Productions dan Theatrethreesixty.
Bagi anda yang rindukan persembahan seni budaya Malaysia, jangan lupa untuk menyaksikan variasi persembahan hebat dalam festival Gerak Angin menerusi laman Youtube Gerak Angin http://bit.ly/youtube-gerakangin atau menerusi laman sesawang rasmi www.gerakangin.com . Ikuti laman Facebook dan Instagram Gerak Angin untuk informasi lanjut.
#REEFISM #REEFISMTERRITORY #GERAKANGIN #SENI
0 Comments