Jadi, untuk edisi kali ini saya akan berkongsi pengalaman saya menginap di salah sebuah hotel yang terletak di Bukit Bintang iaitu Hotel Capitol Kuala Lumpur. Kenapa hotel ini menjadi pilihan saya kali ini? Teruskan membaca!
Siapa yang tidak mengenali Bukit Bintang, lokasi terpenting dalam Kuala Lumpur yang sentiasa dibanjiri manusia. Antara destinasi pelancongan wajib kunjung, Bukit Bintang adalah syurga bagi mereka yang menggemari aktiviti membeli-belah kerana disini, anda boleh dapatkan pelbagai barangan seperti produk fesyen dan gajet. Malah, Bukit Bintang menjadi pilihan ramai pelancong dari dalam dan luar negeri untuk menginap disebabkan lokasinya yang cukup strategik.
Kenapa memilih Hotel Capitol Kuala Lumpur sebagai penginapan hujung minggu saya buat kali ini? Jawapannya mudah sahaja! Kerana saya belum pernah merasai pengalaman menginap di hotel ini jadi ini adalah peluang terbaik buat saya untuk mengetahui apa yang menarik di hotel ini. Saya tahu ada yang pasti tertanya-tanya, bukankah Hotel Capitol Kuala Lumpur ini hotel lama? Lokasi nya juga berada di lorong ‘gelap’ di Bukit Bintang. Sebenarnya, ramai juga dikalangan teman-teman saya yang memberi penarafan rendah kepada hotel ini. Namun apa yang menarik minat saya pada Hotel Capitol Kuala Lumpur ini adalah walaupun ia hotel lama, tetapi ia masih mampu bertahan sehingga ke hari ini. Jadi apa rahsia disebalik kejayaan hotel ini yang masih berdiri utuh di tengah-tengah Bukit Bintang? Itu yang saya ingin tahu.
Sebagai info, Hotel Capitol Bukit Bintang mula beroperasi pada tahun 1997. Hotel kelas perniagaan bertaraf 3 bintang ini mempunyai 235 buah bilik (termasuk 10 bilik dibawah label 10rooms di aras 19 dan 20) diurus tadbir oleh Federal Hotel International (FHI) yang turut mengendalikan hotel The Federal Kuala Lumpur, hotel antarabangsa pertama di Malaysia serta The Grace Hotel di Sydney Australia. Pada tahun 2007, FHI membina rangkaian bilik hotel mewah kontemporari yang diberi nama 10rooms terletak di aras 19 dan 20 Hotel Capitol Kuala Lumpur dan seterusnya dibuka di The Grace Hotel pada 2010. Kelainan yang cuba ditampilkan pada 10rooms adalah ia cuba memberi pengalaman stail unik dan mewah kepada para tetamu hotel dengan menyediakan bilik suite dengan hiasan dalaman cukup memukau. Layari www.ten-rooms.com untuk info lanjut.
Tidak sukar untuk mencari Hotel Capitol Kuala Lumpur ini. Ia berada berhampiran dengan Plaza Low Yat, pusat membeli belah gajet terkemuka, hotel The Federal Kuala Lumpur dan hanya 2 minit berjalan kaki dari stesen MRT Bukit Bintang. Jadi sudah pasti lokasi nya cukup ideal dan mudah akses ke tempat menarik seperti Stadium Merdeka, Stadium Negara, Jalan Petaling (Chinatown), Pasar Seni (Central Market), Muzium Negara. Kalau diikutkan saya mahu guna sahaja MRT untuk ke sini, tetapi kerana keesokkan harinya saya harus bergegas ke lokasi lain, jadi saya menaiki kereta sahaja. Untuk makluman, hotel ini tidak mempunyai parkir tersedia dalam bangunan hotel jadi anda perlu parkir di dalam bangunan Plaza Low Yat kerana Hotel Capitol berkongsi parkir dengan plaza ini.
Memandangkan kita masih di dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jadi Hotel Capitol mengamalkan pematuhan SOP dimana bila tiba sahaja di perkarangan luar lobi, bagasi dan kasut anda akan disembur dengan pembasmi kuman. Untuk urusan daftar masuk, penjarakan fizikal dilakukan dengan pelekat ditandakan di atas lantai. Malah warga kerja hotel di bahagian kaunter memakai pelitup dan pelindung muka sewaktu berinteraksi dengan tetamu. Begitu juga dengan lif yang hanya membenarkan maksimum 4 orang dalam satu masa.
Saya telah menempah bilik jenis CAPITOL DELUXE ROOM untuk 2 hari 1 malam. Pilihan bilik lain yang terdapat di Hotel Capitol Kuala Lumpur adalah Superior Room, Deluxe Room, Premium Room dan 10Rooms (konsep bilik mewah di aras 19 dan 20).
Bilik yang saya tempah ini terletak di aras 18 dan lagi menariknya ia terletak di bahagian hujung bangunan. Jadi terasa lebih rasa privasi. Melangkah masuk ke dalam kamar, saya teruja! Bilik berkeluasan 344 kaki persegi ini cukup luas dan selesa. Seperti biasa, jika masuk sahaja kamar hotel, dua perkara wajib saya buat adalah melihat view dari tingkap dan juga rupa bilik mandi. Saya cukup bertuah kerana bilik saya berhadapan dengan pemandangan Bukit Bintang dan saya boleh lihat mercu tanda KL iaitu Menara Berkembar Petronas dan juga Menara Kuala Lumpur. Kamar mandi juga cukup luas dengan kemudahan tab mandi. Jangan terkejut di dalam kamar juga tersedia telefon. Satu perkara lagi yang saya suka untuk kongsi adalah toiletries disini dimana gel mandian berbau serai wangi. Menarik!
Apa kemudahan yang terdapat didalam bilik di Hotel Capitol Kuala Lumpur ini? Antaranya bilik berhawa dingin dengan kawalan sendiri suhu, TV skrin LCD dengan siaran TV satelit (termasuk BBC, FOX Sports, Supersport, filem), kemudahan WiFi berkelajuan tinggi, bar mini, pengering rambut, seterika, peti keselamatan, sejadah dan kain pelikat. Kemudahan lain yang menarik minat saya adalah anda jaminan keselamatan dimana anda hanya boleh akses di aras bilik anda menginap sahaja dan setiap aras dilengkapi dengan kamera CCTV. Hotel Capitol Kuala Lumpur adalah hotel yang pertama dan hanya hotel di kawasannya yang menawarkan servis ONESTOP, pusat perkhidmatan pelanggan yang komprehensif iaitu gabungan servis concierge, front desk and room service. Hotel Capitol Kuala Lumpur juga menyediakan fasiliti bilik mesyuarat bagi anda yang mahu menganjurkan sebarang seminar mahupun mesyuarat. Bukan itu sahaja! Malah Hotel Capitol Kuala Lumpur juga menawarkan perkhidmatan perancang perkahwinan jadi anda boleh meraikan hari istimewa di hotel ini dengan rasa gembira.
Saya sempat dan diberi peluang untuk melihat sendiri bagaimana pihak hotel mengamalkan prosedur SOP sewaktu pembersihan bilik. Kagum saya dengan keseriusan pihak Hotel Capitol Kuala Lumpur yang mengambil berat tentang keselamatan tetamu dalam membendung pandemik Covid-19.
Pada malam hari, saya sempat singgah di hotel The Federal Kuala Lumpur yang terletak berhampiran dengan hotel Capitol Kuala Lumpur ini kerana mereka ada menawarkan promosi makan malam di restoran Kontiki.
KLIK SINI: https://www.thisisreef.com/2020/08/tiki-bbq-seafood-dinner-di-kontiki.html
Keesokkan pagi, saya dan rakan sempat menikmati sarapan pagi di Be Be’s Kitchen di dalam Hotel Capitol Kuala Lumpur. Sebagai info, kawasan sekitar hotel ini terkenal sebagai syurga makanan jadi mereka hanya mempunyai dua restoran iaitu Be Be’s Kitchen yang khusus kepada menu tempatan dan antarabangsa manakala Café Rasa pula lebih kepada menu ringan dan sajian lebih kasual. Bagi mematuhi SOP, para tetamu harus memesan menu sarapan pagi sewaktu daftar masuk untuk memudahkan pihak restoran menyediakan sarapan anda.
Secara peribadi, adakah saya berpuas hati menginap di Hotel Capitol Kuala Lumpur? Jujur, pada awalnya saya tidak mempunyai harapan tinggi terhadap hotel ini kerana saya tahu ia adalah hotel lama dan juga tidak begitu mempersonakan mata saya jika dilihat dari luar bangunan. Malah hotel Capitol Kuala Lumpur ini tidak pernah berada dalam senarai wishlist saya. Siapa sangka, tiba-tiba hati tergerak untuk menginap disini tanpa paksaan dari sesiapa. Barangkali perasaan ingin tahu yang membuak-buak menjadikan staycation ini satu realiti. Saat saya disapa dari pintu masuk sehingga masuk ke ruang kamar, saya rasa vibes berbeza. Layanan kelas pertama, patuh pada SOP membuatkan saya mula terfikir, hebat juga aturan sistem hotel ini. Hotel bintang lebih tinggi pun kalah! Patutlah hotel ini sering menerima penghargaan dan anugerah berprestij seperti Gold Award Recipient of the prestigious Kuala Lumpur Mayor’s Tourism Awards 2017 in the 3-Star Hotel category, Winner of TripAdvisor Certificate of Excellence Award 2012 & 2016, Winner of the Kuala Lumpur Mayor’s Tourism Awards 2011 for Excellence in the 3-Star Hotel category dan lebih membanggakan adalah ia tersenarai sebagai salah satu hotel terbaik on the Formula 1 Circuit in Condé Nast Traveller May 2001, UK Edition.
Kamar bilik dengan katil dan bantal yang sangat empuk sehinggakan saya jadi malas untuk bangun. I love their toiletries! Bau gel mandian persis produk spa. Jadi benarlah kata pepatah Inggeris, don’t jugde a book by its cover. Saya alami sendiri di Hotel Capitol Kuala Lumpur ini. Kekurangan barangkali tidak memilik kolam renang tapi itu bukan masalah bagi saya! Jadi jika anda mencari hotel penginapan yang selesa, servis kelas pertama pada harga mampu milik di Bukit Bintang, Hotel Capitol Kuala Lumpur wajib menjadi pilihan utama! Jadi apa tunggu lagi, kemas baju anda dan jom bercuti!
#REEFISM #REEFISMTERRITORY #HOTELHUNTING #HOTELCAPITOLKUALALUMPUR

LOKASI HOTEL CAPITOL BUKIT BINTANG KUALA LUMPUR
JALAN BULAN, OFF JALAN BUKIT BINTANG,
55100 KUALA LUMPUR.
-
TELEFON: +603-21437000
-
EMEL: rsvn@capitol.com.my
-
LAMAN SESAWANG RASMI
LAMAN FACEBOOK RASMI
LAMAN INSTAGRAM RASMI
#REEFISM #REEFISMTERRITORY #HOTELHUNTING #HOTELCAPITOLKUALALUMPUR
0 Comments