REVIEW JUJUR PENGALAMAN MENGINAP DI HOTEL IMPIANA KLCC





Sebagai pembuka bicara, makluman bahawa ketika artikel ini ditulis, Malaysia sedang berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Sejak kerajaan mengumumkan fasa PKPP dengan kelonggaran pembukaan beberapa sektor, sudah pasti ianya satu berita yang cukup gembira! Ini kerana banyak sektor yang terjejas terus antaranya industri pelancongan dimana pemain industri yang terkesan adalah agensi pelancongan dan perhotelan. Namun, dengan berita kelonggaran untuk membuka kembali bisnes dengan syarat pematuhan SOP diaplikasi, sudah banyak hotel di Malaysia membuka pintu kepada pengunjung.

Saya sendiri cukup teruja dengan pengumuman pembukaan semula sektor pelancongan khususnya perhotelan di Malaysia kerana saya dapat melancong kembali dan menerjah hotel-hotel menarik untuk pengisian edisi #HotelHunting saya sering saya lakukan sebelum ini.

Saat berita baik ini diumumkan secara rasmi di arus media, saya terus membuka laman carian hotel Agoda dengan memilih lokasi Kuala Lumpur sebagai destinasi carian. Sedang asyik membelek-belek, terpampang jelas tanda harga hotel Impiana KLCC bernilai RM209 untuk penginapan satu malam termasuk sarapan pagi untuk dua orang. Adakah saya bermimpi? Saya semak beberapa kali untuk kepastian adakah harga yang ditawarkan betul.Ternyata saya tidak bermimpi. Untuk pengetahuan anda, hotel Impiana KLCC adalah antara hotel yang berada dalam wishlist saya sejak saya memulakan edisi #HotelHunting namun kerana harganya yang tidak begitu mesra poket (poket saya) jadi saya sering melengahkan hasrat untuk menginap di hotel ini.

Tanpa berfikir panjang, lalu saya terus menyemak kalendar dan membuat membuat tempahan bilik Impiana KLCC. FYI, tempahan bilik Impiana KLCC ini dibuat beberapa hari sebelum tarikh daftar masuk. Maka, pada 4 Julai 2020, bermulalah edisi #HotelHunting meneroka apa yang menarik tentang hotel Impiana KLCC ini. Saya menempah bilik jenis Deluxe King Plus dengan sarapan pagi di Impiana KLCC ini.

Sebagai pengenalan, Impiana KLCC merupakan hotel bertaraf 4 bintang berada di dalam kawasan segitiga emas Kuala Lumpur. Lokasi yang sangat strategik ini menjadikan Impiana KLCC mudah diakses dengan sekadar berjalan kaki ke bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas KLCC, Pusat Konvensyen KLCC dan pusat membeli-belah bertaraf elit Pavilion KL. Impiana KLCC menyediakan 519 buah bilik dengan pilihan bilik jenis Jenis bilik Superior Queen, Superior Twin Plus, Deluxe King, Deluxe Twin, Deluxe King Plus, Club Deluxe King, Premier Club. Jenama Impiana turut mempunyai beberapa rangkaian hotel di Ipoh, Senai, resort dan villa di Thailand, beberapa Private villas di Bali Indonesia. Antara kemudahan yang disediakan di Impiana KLCC adalah spa, kolam renang, gymnasium, bilik mesyuarat, ruang parkir percuma.

Tidak susah untuk mencari lokasi Impiana KLCC ini memandangkan ia berada berhadapan dengan Grand Hyatt dan berhampiran dengan Menara Berkembar Petronas (KLCC). Sebelum memasuki ruang lobi, anda perlu mengimbas kod QR dan diambil suhu badan. Biasalah, norma baharu dan SOP yang wajib dipatuhi. Ruang lobi Impiana KLCC pada hemat saya cukup minimalis tapi pencahayaan yang agak suram membuatkan suasana lobi disini agak kelam. Namun, it’s not a big deal. Selesai urusan daftar masuk, kami terus ke kamar bilik Deluxe King Plus di aras 7. Kenapa saya pilih Deluxe King Plus sedangkan bilik Deluxe biasa lebih murah harganya? Saya lebih cenderung untuk mengambil bilik yang berada di tengah-tengah. Harga tidak terlalu mahal dan tidak terlalu murah. Lagipun bilik ini mempunyai katil saiz King jadi lebih selesa untuk berguling-guling atas katil. Sebab lain adalah harga bilik Deluxe biasa dan Deluxe King Plus tidak jauh beza jadi alang-alang tambah sedikit duit dapat bilik yang sedikit besar.









Melangkah masuk ke dalam bilik, saya agak teruja kerana konsep bilik yang moden tapi dekorasi minimal. My favourite type of room! Perkara pertama yang saya lakukan saat masuk ke dalam bilik adalah melihat view apa yang bilik ini berikan dan meninjau bilik air. Walaupun view dari bilik adalah bangunan Grand Hyatt, Pusat Konvensyen KLCC, dan kolam renang infiniti yang terletak di aras 4. Malangnya bangunan KLCC terlindung daripada bangunan lain. Entahlah! Saya pun tak tahu kenapa tapi dua perkara ini wajib saya buat dahulu saat masuk ke bilik hotel. Anda pula bagaimana?











Kemudahan yang disediakan untuk bilik Deluxe King Plus adalah seperti Wifi, TV skrin leper, meja kerja, kerusi malas, peti ais, seterika, peti keselamatan dan beberapa kemudahan asas lain. Untuk makluman, bilik air untuk Deluxe King Plus ini tiada tab mandi. Ulasan bilik? Saya harus akur bahawa ini adalah hotel lama dan saya tidak pasti bila kah kali terakhir ia mengalami renovasi. Penghawa dingin bilik ini seperti tidak berfungsi dengan baik walaupun suhu telah diubah tetapan. Namun bilik tidaklah berbahang, cuma kalau dapat bilik yang sejuk lebih enak rasanya. Namun saya harus puji kerana keadaan bilik dan perabot masih tampak elok kecuali pintu bilik air dimana engsel tidak lancer bila dibuka tutup. Tidak mengapa. Bukan isu besar. Katil dan bantal sangat empuk dan selesa sehinggakan saya begitu liat untuk bangun pagi.










Petangnya, saya dan rakan berjalan kaki menuju ke Suria KLCC untuk makan petang. Satu perkara yang menarik tentang Impiana KLCC adalah lokasi dan untuk ke Suria KLCC, anda hanya perlu menggunakan pejalan kaki tertutup dan berhawa dingin yang akan menghubungkan anda terus ke bangunan Pusat Konvensyen KLCC dan Aquaria KLCC. Malah jarak Impiana KLCC ke Pavilion KL juga agak dekat dengan hanya berjalan kaki.



Keesokan hari, saya dan rakan bangun pagi untuk menikmati sarapan pagi di Tonka Bean Café yang terletak di aras lobi. Saya harus akur bahawa bufet sarapan pagi tidak semeriah sebelum isu Covid-19 menular. Pilihan makanan yang terhad dimana harga terdapat beberapa menu sahaja disediakan seperti Nasi Lemak, Bihun Goreng, Roti Canai, Bubur Nasi, Sup, dan kaunter live-cooking untuk memesan telur hancur. Oh ya! Untuk menu roti, pastri dan air, anda perlu memesan kepada warga kerja bertugas dan akan dihidangkan di meja.













Selesai sarapan, saya meninjau kolam renang infiniti yang terletak di aras 4 bangunan Impian KLCC. Memandangkan kita masih berada dalam fasa PKPP, jadi sesiapa yang ingin menggunakan kolam renang perlu mendaftar diri dahulu di kaunter lobi sewaktu daftar masuk. Jika tidak, anda tidak dibenarkan untuk mandi. Sekali lagi, anda harus akur dengan pematuhan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan untuk menggunakan kolam renang. Daftar keluar adalah pada jam 12 tengah hari tapi saya telah request untuk daftar keluar jam 1 tengahari kerana ingin benar-benar menikmati keselesaan bilik hotel ini.









Secara peribadi, saya berpuas hati sepanjang menginap di Impiana KLCC pada hujung minggu dan pastinya tawaran harga cukup murah iaitu RM209.16 untuk penginapan satu malam adalah best deal memandangkan lokasi ini di kawasan elit di ibu kota. Layanan warga kerja hotel Impiana KLCC juga cukup mesra. Keep it up! Bagi sarapan pagi, saya harus akur dengan pilihan menu terhad memandangkan sekarang adalah fasa PKPP. Kualiti rasa masakan tidaklah berada dalam kategori terbaik namun masih enak untuk dinikmati (berdasarkan rasa tekak saya). Dari segi suasana hotel, saya agak tertarik dengan keadaan sekeliling yang tenang. Tidak kedengaran bunyi yang tidak enak sepanjang penginapan saya di Impiana KLCC ini. Jadi saya rasa cukup damai sekali sepanjang berada di kamar Deluxe King Plus. Berbaloikah menginap di Impiana KLCC? Bagi saya ya!

Inilah masa untuk anda merasai pengalaman menginap di hotel dengan fasiliti dan servis terbaik memandangkan banyak hotel sedang membuat potongan harga yang ada kala saya fikir tak masuk dek akal. Anda boleh membuat tempahan terus di laman rasmi Impiana KLCC kerana mereka menawarkan promosi Stay Safe Package dan Home Sweet Home dimana anda boleh menikmati potongan sebanyak 50% untuk penginapan malam kedua. Malah anda boleh memohon untuk daftar keluar lambat dengan hanya membayar tambahan RM50 sahaja. Berbaloi bukan? Bukan itu sahaja! Kafe terkemuka di Impiana KLCC iaitu Tonka Bean Café turut menawarkan diskaun sebanyak 30% jika anda mahu menjamu selera disini. Kesemua tawaran istimewa ini tertakluk kepada terma dan syarat. Apa tunggu lagi! Tempah sekarang sebelum harga bilik kembali melambung naik. Selamat bercuti!


LOKASI IMPIANA KLCC HOTEL 
13 JALAN PINANG, 50450 KUALA LUMPUR. 

TELEFON: +60(3) 2147 1111 


LAMAN SESAWANG RASMI 


#REEFISM #REEFISMTERRITORY #HOTELHUNTING #IMPIANAKLCC

0 Comments