Sebut pasal cukai pendapatan, pasti ada sebahagian daripada anda yang mula rasa gelisah. Ibarat seperti berhadapan dengan masalah besar. Ada juga yang akan persoalkan kenapa kena bayar cukai pendapatan? Apa manfaat yang kita dapat dengan membayar cukai pendapatan? Penat-penat kerja kena bayar cukai pula. Sebelum kita pergi lebih jauh, anda harus faham apa yang dimaksudkan dengan cukai pendapatan.
Cukai pendapatan adalah caj tahun yang dilevi sama ada ke atas upah, gaji, komisyen dan pendapatan bukan gaji (dividen, faedah, sewa, pendapatan dari perdagangan). Secara asasnya, terdapat dua jenis cukai pendapatan yang asas iaitu cukai pendapatan individu dan dan cukai pendapatan perniagaan. Menurut undang-undang, perniagaan dan individu wajib mengisytiharkan penyata cukai pendapatan secara tahunan untuk menentukan sama ada mereka perlu membayar cukai atau layak menerima rebat cukai.
CUKAI PENDAPATAN INDIVIDU
Cukai pendapatan individu adalah cukai yang dilevi ke atas pendapatan total seseorang bagi tempoh setahun. Cukai ini dikawal selia dan dipungut oleh kerajaan. Bila pembetulan dibuat di penghujung tahun, pelarasan kepada cukai tersebut boleh menyebabkan cukai tambahan perlu dibayar kepada kerajaan atau lebihan cukai boleh diterima oleh individu dari kerajaan.
CUKAI PENDAPATAN PERNIAGAAN
Semua perniagaan membayar cukai untuk perolehan mereka. Menurut IRS, korporat, perkongsian, kontraktor yang berkerja sendiri dan perniagaan-perniagaan kecil dianggap perniagaan.
Saya harap penjelasan asas tentang maksud cukai pendapatan terjawab. Sekarang anda pasti tertanya kenapa harus membayar cukai pendapatan? Cukai pendapatan adalah sumber dana utama kerajaan untuk membangunkan negara. Menerusi cukai yang dikutip ini, kerajaan dapat membangunkan negara ke arah negara maju dan berdaya saing, meningkatkan prasarana dan menaik taraf kemudahan kepada rakyat. Contoh yang mudah seperti membina jalan raya, mewujudkan jaringan pengangkutan awam yang lebih efisen dan selesa, menaik taraf kemudahan asas yang lebih baik seperti sekolah dan banyak lagi. Senang kata, cukai yang anda bayar disalurkan kembali kepada anda menerusi pembangunan sosial dan ekonomi.
Pada era kecanggihan masakini, medium menjana pendapatan semakin berkembang maju dengan kewujudan pelbagai platform digital seperti media sosial dan bisnes atas talian. Jika anda ikuti rapat landskap dunia siber khususnya media sosial, sudah ramai golongan yang digelar Instafamous atau selebriti online yang menjana pendapatan menerusi medium ini. Kelebihan mempunyai bilangan pengikut yang tinggi ini menarik perhatian peniaga untuk menggunakan khidmat mereka mempromosikan produk dan servis. Bunyinya sangat menarik bukan? Siapa yang tidak suka apabila sering diberi produk percuma atau tajaan percutian. Tugas anda hanya kongsikan info di media sosial sahaja. Namun, tahukan anda wahai influencer di luar sana bahawa servis yang anda lakukan ini adalah sebahagian daripada pendapatan? Jika nilai pendapatan ini dihimpun dan dikira melebihi RM34 ribu setahun, anda tidak terkecuali untuk membayar cukai pendapatan.
Saya tahu, ramai selebriti online atau influencer yang masih keliru dan kurang ilmu tentang isu ini, termasuk saya sendiri. Atas sebab itu, saya mengambil kesempatan untuk hadir di sesi taklimat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersama selebriti media sosial baru-baru ini. Sesi taklimat ini mendapat kerjasama SushiVid Sdn Bhd, sebuah syarikat peneraju dalam bidang pemasaran digital di Asia Tenggara. Majlis turut dihadiri dan dirasmikan oleh En. Hishamudin Mohamed, Pengarah Perkhidmatan Korporat LHDN dan Ketua Pegawai Eksekutif/Pengasas Sushivid, Miss Foong Yun Wei.
Pada sesi khas ini, kami telah diberikan taklimat berkaitan Influencer dari perspektif cukai. Ini pastinya membuka minda kami yang selama ini cetek pengetahuan tentang isu cukai. Malah, kami dimaklumkan bahawa jika pendapatan yang kami perolehi tidak kira samada dalam bentuk tajaan dan rebiu berbayar menerusi perniagaan atas talian seperti media sosial melebihi RM34 ribu setahun, wajib isytihar pendapatan dengan LHDN. Ini kerana servis yang anda lakukan adalah dikira sebagai satu bentuk perniagaan. Ini juga termasuklah mereka yang menjana pendapatan menerusi servis pandu-seru Grab dan juga penginapan jangan pendek Airbnb. Kami juga disarankan untuk mendaftar servis yang kami lakukan sebagai satu perniagaan kerana banyak manfaat pengecualian cukai yang akan diperolehi berbanding mendaftar cukai sebagai individu.
BAGAIMANA CARA MENDAFTAR CUKAI PENDAPATAN ANDA?
Bagi mereka yang baru pertama kali ingin mendaftar cukai pendapatan dengan LHDN, saya kongsikan langkah-langkah mudah permohonan pendaftaran fail cukai pendapatan untuk membayar cukai dibawah ini.
- JUMLAH PENDAPATAN MINIMUM YANG DIKENAKAN CUKAI
Paling asas, jika pendapatan tahunan anda melebihi RM34 ribu setahun, anda wajib membayar cukai.
- BAGAIMANA NAK DAPAT NOMBOR CUKAI PENDAPATAN?
Anda boleh semak dulu nombor cukai pendapatan anda di http://edaftar.hasil.gov.my/semaknocukai . Jika anda belum pernah mendaftar, anda boleh mendaftar daftar buat kali pertama di http://edaftar.hasil.gov.my untuk mendapatkan nombor rujukan cukai. Anda klik pada pautan BORANG PENDAFTARAN ONLINE dan isi maklumat lengkap. Selesai mendaftar, anda perlu pergi ke cawangan LHDN yang tertera untuk mendapatkan nombor pin e-Filing dimana no pin ini akan digunakan untuk proses pendaftaran cukai pendapatan anda secara elektronik di pautan https://ez.hasil.gov.my/ci/LoginKaliPertama.aspx . Kemudian cari borang e-B (ADA PUNCA PENDAPATAN PERNIAGAAN) dan isi semua pendapatan anda selama setahun. Dari sini anda boleh ketahui samada anda layak atau tidak membayar cukai. Cukup mudah!
- PELEPASAN CUKAI
Jelas sekarang tentang kepentingan membayar cukai pendapatan? Tidak kira samada anda selebriti media sosial atau berniaga secara atas talian, membayar cukai adalah tanggungjawab kita kepada kesejahteraan negara. Paling penting, anda isytihar sahaja pendapatan anda dahulu dan sekiranya pendapatan anda tidak melayakkan anda dikenakan cukai, tidak perlu risau! Malah jika anda layak membayar cukai sekalipun, setiap sen yang anda bayar adalah untuk kesenangan dan kesejahteraan anda dan rakyat juga. Malaysia maju, rakyat sejahtera! Layari laman Facebook rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri di www.facebook.com/LHDNM atau hubungi Hasil Care Line di talian tanpa tol 03-8911 1000 untuk maklumat lanjut.
Untuk makluman semua, SushiVid berpengalaman untuk mendapatkan maklumat skop kerja, invois dan kenyataan pembayaran mereka dari agensi yang dilantik. Sekiranya selebriti media sosial mendapat kempen daripada SushiVid, mereka akan membantu menyediakan semua butiran yang diperlukan untuk mereka memfailkan cukai. Layari www.sushivid.com dan juga laman media sosial rasmi SushiVid untuk butiran lebih terperinci.
#REEFISM #REEFISMTERRITORY #SVEVENTS #TANGGUNGJAWAB
0 Comments