TEATER MAKYUNG RAJA BESAR MAHA GADING ANGKAT SENI MAKYUNG DALAM PEMENTASAN BERTARAF DUNIA!






Sudah lama rasanya saya tidak menyaksikan persembahan teater. Seingat saya, kali terakhir saya menonton teater adalah sewaktu pementasan MAK CUN D’WALEI arahan pengarah tersohor Eirma Fatima pada November 2016. It was 3 years ago. Lama sungguh! Barangkali sepanjang tempoh itu, tiada naskhah yang berjaya menambat hati saya.

Kenapa teater Makyung Raja Besar Maha Gading berjaya menarik perhatian saya? Semuanya bermula apabila saya menonton rancangan Meletop di Astro Ria dimana pada segmen tersebut para pelakon utama mempromosikan teater Makyung tersebut. Pasti ada ‘sesuatu’ pada teater ini sehingga ia diwar-warkan di saluran media perdana. Saya hadir di majlis pratonton teater ini memandangkan saya turut menerima jemputan khas daripada pihak Istana Budaya. Jadi ibarat kata pepatah, rezeki jangan ditolak!

Sebelum pementasan bermula, terlebih dahulu telah diadakan perasmian pameran Maha Gading yang dibuat di perkarangan lobi sempena dengan pementasan teater ini. Majlis ini telah disempurnakan oleh Puan Zaiton Md Desa, Timbalan Ketua Pengarah Artistik Istana Budaya dan turut diserikan dengan ‘live painting’ makyung oleh pelukis Aris Aziz. 

PAK ARIS AZIZ MEMBUAT DEMONSTRASI LIVE PAINTING

PUAN ZAITON MD DESA, TIMBALAN KETUA PENGARAH ARTISTIK ISTANA BUDAYA

CENDERAMATA DIBERIKAN KEPADA PUAN ZAITON

SESI MELAWAT PAMERAN MAHA GADING

ANTARA PAMERAN MAHA GADING

ANTARA PAMERAN MAHA GADING

ANTARA PAMERAN MAHA GADING

ANTARA PAMERAN MAHA GADING




Sebagai info, Makyung berasal daripada dua perkataan iaitu ‘Mak’ dan ‘Hiang’ yang membawa maksud semangat padi. Ia adalah persembahan teater tradisional dari Kelantan yang menggabungkan elemen tari, seni suara, lakon, lawak dan muzik. Teater Makyung Kelantan telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Seni Warisan Dunia pada 25 November 2005. 

Pementasan teater Makyung Raja Besar Maha Gading ini membuka tirai panggung dengan persembahan muzik dan tarian Makyung oleh kumpulan Makyung Seri Nilam Istana Budaya dan Pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia. Formasi tarian ini cukup mengagumkan. Walaupun tempoh masa tarian pembukaan ini agak lama pada saya, ia tidak membosankan. 









Sepanjang tempoh 3 jam termasuk rehat 15 minit diserikan dengan sketsa, drama, tarian dan juga alunan muzik Makyung yang mendamaikan jiwa. Bagi menarik perhatian penonton yang turut terdiri daripada golongan milenial, lawak moden dan sedikit ‘nakal’, prop seperti paparan telefon bimbit diselitkan dalam teater ini. Pada awalnya saya agak pelik dengan elemen moden yang dipaparkan namun setelah mendapat penjelasan daripada pengarah dan teraju utama teater ini iaitu Rosnan Rahman, saya kira elemen ini relevan dan logik untuk pementasan ini. Unsur-unsur lawak ternyata cukup menghiburkan dan menghidupkan suasana panggung. Kredit perlu diberikan kepada pelakon Issey Fazlisham dan Romli Abdullah yang membawa watak pengasuh Diraja yang membawa watak cukup bersahaja. Malah aksi lucu Izzue Islam sebagai Wak Nujum juga harus dipuji. Bersahaja! 










Watak Rosnan Rahman tidak perlu dipertikaian lagi. Peranan sebagai Pakyung seperti sudah sebati dalam diri beliau. Walaupun beliau berasal dari Kedah, loghat Kelantan yang dituturkan dalam teater tidak pelat sama sekali. Bagi Nad Zainal, ini adalah pertama kali saya menyaksikan beliau beraksi di pentas teater. Penjiwaan watak yang cukup baik oleh beliau. Tidak terkecuali barisan dayang-dayang sewaktu Tok Peraih Sireh mahu memilih isteri cukup mencuit hati. Pandai mereka membuat lawak jenaka bersahaja sehingga seluruh panggung ketawa berdekah-dekah. Cuma watak adik beradik Raja Bongsu dan permaisuri Raja Besar tidak begitu menonjol. Saya kurang pasti kenapa. Barangkali watak mereka dicipta sebegitu. 









Secara peribadi, saya cukup terhibur dengan keseluruhan perjalanan pementasan teater Makyung Raja Besar Maha Gading ini. Walaupun ada ketika, sesetengah babak pada saya agak dragging sehingga saya mulai mengantuk, namun elemen lawak jenaka berjaya mengejutkan saya dari terlena. Teater sebegini harus diangkat ke aras yang lebih tinggi lagi kerana ia adalah budaya tradisi yang harus kita banggakan. Saya faham jika terpaksa diselitkan elemen moden mengikut arus semasa asalkan elemen tradisi dalam seni Makyung ini masih dikekalkan. Barangkali teater sebegini boleh dijadikan sebagai pementasan kebangsaan dan dijadikan tarikan bagi pelancong luar untuk menikmati budaya tradisi dalam Malaysia. Negara Eropah boleh berbangga dengan seni opera, Jepun berjaya menarik pelancong luar dengan persembahan Kabuki, Malaysia juga tidak kurang hebatnya dengan seni Makyung! 

DARI KIRI: NAQUE ARIFFIN, NAD ZAINAL, ROSNAN RAHMAN, ISSEY FAZLISHAM DAN IZZUE ISLAM.

Sekalung tahniah kepada semua tenaga produksi teater Makyung Raja Besar Maha Gading di bawah arahan Rosnan Rahman dan dibimbing oleh Fatimah Abdullah serta muzik diarah oleh Mohd Yazid Zakaria.


SINOPSIS
Teater Makyung ini mengisahkan Raja Besar Maha Gading menyuruh Wak Nujum menilik siapakah dikalangan tujuh orang anak baginda yang boleh menggantikan tempat sebagai pemerintah dalam negeri tersebut. Hasil tilikan Wak Nujum mendapati bahawa Raja Bongsu yang layak menggalas takhta beliau. Ini menyebabkan anak-anak yang lain tidak berpuas hati dan menyimpan dendam terhadap Raja Bongsu. Maka, keenam- enam anak Raja Besar Maha Gading merancang untuk membunuh Raja Bongsu. Setelah pelbagai helah digunakan, akhirnya mereka berjaya mencampak Raja Bongsu ke dalam telaga di tengah-tengah padang luas. Nasib Raja Bongsu baik kerana beliau telah diselamatkan oleh Tok Peraih Sireh dan mempelawa tinggal bersama di pondoknya.

Pada masa sama, berita ‘kematian’ Raja Bongsu membuat baginda raja dan permaisuri berdukacita. Adakah Raja Besar akan menemui Raja Bongsu semula? Itulah persoalan kepada pengakhiran kisah teater Makyung Raja Besar Maha Gading ini.
 



#REEFISM #REEFISMTERRITORY #RAJABESARMAHAGADING #ISTANABUDAYA

0 Comments