PENGALAMAN MENGINAP DI SWISS-GARDEN HOTEL & RESIDENCES GENTING HIGHLANDS






Lama tidak menulis dan berkongsi tentang pengalaman menerjah hotel. Bukan menyepi tetapi sibuk dengan urusan harian yang cukup padat. Dalam masa sama, saya menyusun senarai hotel untuk edisi #HotelHunting untuk dikongsikan bersama anda. Tidak mahu membuang masa, saya teruskan dengan kisah memburu hotel kali ini.

Untuk percutian hujung minggu kali ini, saya memilih untuk menginap di sebuah hotel yang baru sahaja dibuka kepada umum pada Julai 2019 iaitu Swiss-Garden Hotel & Residences Genting Highlands. Bagaimana terdetik untuk menginap disini? Semuanya berlaku secara kebetulan. Malah kalau diikutkan, hotel ini tiada dalam senarai edisi #HotelHunting saya untuk 2019. Sedang membelek-belek laman muka buku, tiba-tiba hotel ini muncul di feed saya. Langsung saya membuka pautan laman sesawang dan menyemak informasi tentang hotel ini.

SUDAH SAMPAI!






Seperti yang saya nyatakan, hotel Swiss-Garden Hotel & Residences Genting Highlands ini baru sahaja dibuka pada Julai 2019. Jadi pihak hotel menawarkan harga diskaun untuk penginapan dan sarapan pagi. Jadi saya terus membuat tempahan memandangkan harga promosi ini memang benar-benar mampu-tempah. Saya menempah bilik jenis Deluxe untuk weekend getaway saya disini.

Sebagai info, Swiss-Garden Hotel & Residences Genting Highlands merupakan cawangan terbaru dan yang ke-9 bagi rangkaian Swiss-Garden Hotel International, Hotels & Inns. Ia mempunyai 4 jenis pilihan bilik iaitu Deluxe Room (307 unit), 1-Bedroom Suite (6 unit), Executive 2-Bedroom (69 unit) dan Premier 2-Bedroom (179 unit).

Tidak sukar untuk mencari hotel ini. Malah perjalanan saya bersama teman menaiki kereta tidak memenatkan memandang jarak hotel ini dengan Kuala Lumpur hanya lebih kurang 35km sahaja. Kalau anda malas nak memandu, naik sahaja bas dari KL Sentral ke Terminal Bas Awana Genting dan kemudian daripada terminal bas, anda boleh menggunakan khidmat teksi atau Grab untuk ke hotel. Oh ya, pihak hotel turut menyediakan shuttle van daripada Genting Highlands Premium Outlet ke hotel. Jadi anda boleh semak lebih lanjut dengan pihak Swiss-Garden Hotel & Residences Genting Highlands.

JADUAL WAKTU SHUTTLE VAN






Lokasi hotel yang terletak kawasan Genting Permai ini cukup strategik. Sebab? Berhampiran dengan kawasan hotel terdapat banyak deretan kedai seperti kedai mamak dan stor runcit 24 jam. Malah jarak hotel dengan Genting Highlands Premium Outlet (juga lokasi stesen Genting Skyway dan stesen bas) hanya mengambil masa tidak sampai 10 minit.







Setibanya saya di ruang lobi hotel, saya teruja melihat hiasan dalamannya. Simple dan minimalis! Siling lobi dihiasi dengan besi emas berbentuk sangkar dan terdapat beberapa sofa di ruang menunggu. Permainan warna dan bentuk perabot cukup menarik dan sesuai dengan konsep masakini.











Melangkah masuk ke dalam kamar saya yang terletak di aras 32, saya terus teruja! Bilik Deluxe yang berkeluasan 362 kaki persegi ini memang kena dengan citarasa saya. Minimalis! Tidak perlu hiasan yang sarat. Warna coklat dan puith mendominasi ruang bilik memberi impak ekslusif pada bilik ini. Tersedia juga meja kerja dan sofa malas di tepi tingkat pada ruang kamar ini. Bilik Deluxe ini dilengkapi dengan penghawa dingin, TV skrin leper, mini bar, peti simpanan, cerek, telefon, pengering rambut dan tuala. Paling saya suka adalah tilam dan bantal hotel ini cukup empuk! Malah setiap katil disediakan 4 bantal dan 2 bantal kecil. Jarang hotel mahu sediakan bantal yang banyak dalam kamar.















Selesai meletak beg, saya terus keluar untuk meneroka fasiliti yang terdapat di Swiss-Garden Hotel & Residences Genting Highlands ini. Lokasi pertama adalah di aras 5 yang menempatkan in-house restaurant, The Garden Terrace. Agak besar ruang restoran ini dan saya diberitahu ia boleh menempatkan 300 orang dalam satu masa. Anda boleh menikmati sarapan pagi seawal jam 6.30 pagi atau makan malam disini. Anda boleh mencuba menu Mee Goreng Mamak dan Teh Tarik untuk minum petang disini. Sedap! Di aras sama, turut menempatkan kemudahan seperti pusat permainan kanak-kanak, peralatan beriadah, kawasan rehat santai.



















Kemudian saya terus ke blok sebelah (blok residensi) untuk meninjau kolam renang pula. Kolam renang berada di aras 41 dan terbahagi kepada bahagian dewasa dan kanak-kanak. I should say this area is my favourite part of the hotel. Di aras ini, anda akan terpukau dengan panorama gunung ganang yang menghijau sambil lepak santai dibawah beranda. Satu lagi yang menarik di aras ini adalah terdapat sebuah dewan dinding kaca dikelilingi air kolam yang dipanggil Ceremonial Alcove. Anda boleh mengadakan parti kecilan disini atau majlis resepsi barangkali! Yang pasti, Ceremonial Alcove ini adalah my Insta-Photo favourite spot! Untuk pengetahuan semua, terdapat sebuah ruang kafe bersebelahan dengan kolam renang untuk disewa khas jika anda mahu menganjurkan sebarang majlis. Naik ke aras 42, terdapat fasiliti seperti gimnasium dan dewan komuniti.













Secara peribadi, penginapan hujung minggu saya di Swiss-Garden Hotel & Residences Genting Highlands ini cukup berbaloi! Hospitaliti dan layanan mesra daripada pihak hotel patut diberi pujian. Ya, walaupun ia adalah hotel baru, namun tidak semua hotel baru memberikan perkhidmatan terbaik tetapi bagi Swiss-Garden, pengalaman yang lama dalam bidang perhotelan meletakkan jenama ini dalam kelas tersendiri. Kemudahan yang disediakan juga lengkap termasuk lebih 300 ruang parkir dalam bangunan. Kalau ditanya adakah saya akan kembali ke sini? Sudah pasti! Kini saya sudah punya lokasi untuk lari seketika daripada kesibukan kota KL.


LOKASI SWISS-GARDEN HOTEL & RESIDENCES, GENTING HIGHLANDS 
WINDMILL UPON HILLS, GENTING PERMAI, 
69000 GENTING HIGHLANDS, 
PAHANG DARUL MAKMUR. 

-

TELEFON: +603 9213 0777 

-


LAMAN SESAWANG RASMI 

LAMAN FACEBOOK RASMI 

LAMAN INSTAGRAM RASMI 



#REEFISM #REEFISMTERRITORY #OURSWISSGARDENGENTINGTALE #SWISSGARDENGENTING

3 Comments

  1. Menarik! Itulah yang boleh Otomen katakana setelah selesai bacaan kat sini.. Haha... Terbaik Bro!

    ReplyDelete