IMBAUAN NOSTALGIA JAMU SELERA DI KEDAI KOPI MALAYA






Hey foodie! Masih aktif mencari lokasi tempat makan baru? Teruskan eksplorasi makan anda dan kongsikan pengalaman anda di media sosial. Untuk edisi terjahan tempat makan kali ini, saya suka untuk berkongsi dengan anda sebuah kedai makan yang baru saya temui. Saya kurang pasti sejak bila ia beroperasi namun jika melihat kepada posting pertama di laman Instagram rasmi, barangkali ia mula dibuka pada Mac 2019.

Kedai makan yang saya maksudkan adalah Kedai Kopi Malaya yang terletak di Jalan SS 21/37, Damansara Utama (berhadapan dengan pusat membeli belah The Starling). Menerusi laman Instagram rasmi Kedai Kopi Malaya juga, mereka turut mempunyai cawangan di pusat membeli belah KL Gateway Mall dan bakal buka di pusat membeli belah Mid Valley.

Kunjungan saya ke Kedai Kopi Malaya cawangan Damansara Utama ini adalah tidak dirancang. Usai menonton wayang, teman saya mencadangkan untuk mencuba menu di sini. Setibanya di hadapan kedai, saya terkesima melihat dekorasi dan papan tanda kedai pelbagai bahasa yang cukup klasik. Tidak ubah seperti kedai kopitiam yang biasa saya tonton dalam filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.






Melangkah masuk ke ruang kedai, saya dapat lihat dari penggunaan perabot, susun atur, jubin dinding dan lantai serta sudut jualan roti buku berjaya mewujudkan ambiance nostalgik. Pelengkap mood klasik ini adalah lampu neon berwarna hijau tertera perkataan Sedap dan Enak, Sejak 1948. Jangan ditanya kenapa sejak 1948 kerana saya tiada jawapan untuk soalan itu.












Melihat kepada senarai menu, hampir kesemua pilihan adalah makanan rakyat Malaysia termasuk menu kegemaran ramai, Nasi Lemak. Saya dan teman-teman memesan Assam Laksa, IndoMie Goreng, Roti Bakar Tradisional, Keropok Lekor, Kopi C Ais dan Teh Tarik. Pinggan mangkuk yang digunakan juga menerapkan elemen klasik.

ASSAM LAKSA RM 13.90

INDOMIE GORENG RM 7.90 (TELUR TAMBAH RM 1.90)

ROTI BAKAR TRADISIONAL RM 3.90

KEROPOK LEKOR RM 6.90

KOPI C AIS RM 5.90





Komen peribadi tentang Kedai Kopi Malaya? Saya sukakan konsepkan hiasan dalaman kedai ini yang cukup klasik dan kepada Instagrammer, ini lokasi menarik untuk feed anda! Dari segi pilihan menu, ia menawarkan variasi makanan. Saya kurang pasti menu lain, namun dari apa yang kami makan, kualiti rasanya menepati selera tekak kami. I love their Kopi C Ais. Cuma saya agak kurang bersetuju dengan portion Keropok Lekor yang pada saya terlalu sedikit dan saiznya kecil jika dibandingkan dengan harga jualan. Sentuh tentang harga? Harga menu disini tidaklah murah dan tidak terlalu mahal. Senang kata, ia bukanlah lokasi tempat makan harian untuk saya. Namun kalau kunjungan sekali-sekala sambil lepak santai, ia adalah pilihan terbaik.

Jika anda punya waktu dan kelapangan atau barangkali mencari lokasi lepak baru, Kedai Kopi Malaya boleh dimasukkan dalam senarai anda. Anda boleh layari laman sesawang rasmi http://www.theawesomefood.co atau laman media sosial rasmi Kedai Kopi Malaya untuk informasi lanjut. Selamat menjamu selera dengan suasana zaman Malaya!



LOKASI KEDAI KOPI MALAYA (DAMANSARA UTAMA) 
97, JALAN SS 21/37, 
DAMANSARA UTAMA, 
47400 PETALING JAYA, 
SELANGOR.

-

WAKTU OPERASI: 
8 PAGI – 10 MALAM (SETIAP HARI)

-
TELEFON: 012-9180167 

-

LAMAN FACEBOOK RASMI 

LAMAN INSTAGRAM RASMI 


#REEFISM #REEFISMTERRITORY #KEDAIKOPIMALAYA

3 Comments