RESTORAN ADU SUGAR BANGSAR HIDANG MENU ASLI JOHOR AIR TANGAN CHEF ADU AMRAN






Kalau sebut tentang makanan dari Johor, pasti dalam minda terfikirkan Laksa Johor. Tidak dinafikan Laksa Johor punya keenakkan tersendiri. Saya sendiri antara peminat menu ini. Kalau di Johor, memang senang nak dapatkan Laksa Johor asli dan sedap. Bagi saya, ukuran kesedapan Laksa Johor dinilai daripada kepekatan kuah laksa itu sendiri. Lagi banyak isi ikan lagi mengancam. Dimakan pula dengan sambal khas. Layan habis!

Di Kuala Lumpur, banyak restoran yang menawarkan menu Laksa Johor tapi jarang yang menepati piawaian tekak. Cuma baru-baru ini, saya sempat singgah makan di restoran milik Chef Adu Amran, restoran ADU Sugar yang terletak di Lucky Garden, Bangsar. Pada awalnya, saya dan rakan sesat mencari lokasi restoran ini, kemudian baru terperasan signboard berwarna hijau tertulis ADU Sugar. Restoran ini rupanya terletak di aras atas. Premis ini dahulunya adalah sebuah kedai kopitiam Ipoh Kitchen. Saya diberitahu bahawa restoran ADU Sugar baru beroperasi sejak bulan Ramadan lepas. Terima kasih kepada rakan Instagram saya yang mencadangkan restoran ini.










Saat melangkah masuk ke ruang restoran ADU Sugar, saya terpesona dengan sentuhan hiasan dalamannya. Bermula daripada tangga yang menggunakan jubin stail lama, dekorasi kedai inspirasi nusantara sehingga ke penggunaan perabot. Klasik dan tampak mewah. Penggunaan lampu malap mencetuskan suasana privasi dan anda akan dihiburkan dengan seleksi lagu lama yang pastinya menggamit memori. Di satu sudut, anda boleh lihat beberapa lukisan pada dinding yang cukup artistik. Saya diberitahu bahawa konsep hiasan restoran ADU Sugar ini adalah cetusan dan idea chef Adu sendiri. 












ADU Sugar Bangsar dibuka setiap hari kecuali hari Isnin dan dibahagikan kepada dia sesi iaitu dari jam 12 tengahari hingga 3 petang untuk makan tengari dan dari 6 petang hingga 11 malam untuk makan malam. Pilihan menu yang ditawarkan pada setiap sesi berbeza. Bila saya amati senarai menu, saya dapat lihat restoran ini cuba mengetengahkan masakan asli Johor seperti Mee Bandung, Rojak Buah, Sate Ayam bersama kuah Kacang, dan beberapa menu fusion antaranya Grilled Duck Breast, Duck Confit, Salmon Botok-Botok, Carbonara Udang Galah. Saya dan rakan menikmati makan malam dengan mencuba menu Sup Tulang Soto, Laksa Johor, Jemput-Jemput Bawang manakala saya memesan minuman Kopi Kluang Ais. 








SUP TULANG SOTO 


Saya sukakan rasa kuahnya yang cukup rasa rempah ratus dan isi daging pada tulang cukup lembut. Menu ini dihidangkan bersama nasi impit dan kuah kicap sebagai pelengkap rasa.


LAKSA JOHOR 

 

Antara Laksa Johor yang sedap pernah saya cuba! Isi kuah laksanya cukup pekat dan cukup rasa. Saya diberitahu yang Chef Adu menggunakan Ikan Parang untuk membuat kuahnya. Menu ini didatangkan bersama sambal dengan buah limau sebagai pelengkap rasa.


JEMPUT-JEMPUT BAWANG 


Tesktur jemput-jemput atau cucur ini cukup lembut dan saiz nya agak besar. Ia dihidangkan bersama sambal pencicah. Saya jarang makan cucur dengan sambal atau sos kerana lebih sukakan keaslian rasa cucur itu sendiri.


KOPI KLUANG AIS 


Tak perlu memandu ke Kluang lagi untuk menikmati kopi Kluang kerana ADU Sugar Bangsar pun menawarkan kopi yang asli.



Walaupun saya hanya berkesempatan mencuba beberapa menu sahaja, namun secara peribadi pengalaman makan malam di ADU Sugar Bangsar ini cukup menarik. Walaupun jika sentuh pasal harga ianya tidak lah murah, namun jika dikira dengan ambiance, hospitaliti dan kualiti rasa yang diberikan oleh restoran ini pada saya cukup berbaloi. Saya diberitahu bahawa menu pencucu mulut Pisang Salai Brownies di sini juga adalah signature dish dan wajib cuba. Saya akan cuba menu ini pada kunjungan akan datang! 


LOKASI ADU SUGAR BANGSAR
  
10A (ARAS SATU), 
LORONG ARA KIRI 2, BANGSAR, 
59100 KUALA LUMPUR.

-

WAKTU OPERASI 

SELASA – AHAD: 
12PM-3PM (LUNCH)
6PM-11PM (DINNER)

-

TELEFON: 03-2201-1441

-  

LAMAN FACEBOOK RASMI 

LAMAN INSTAGRAM RASMI 


#REEFISM #REEFISMTERRITORY #ADUSUGAR #FOOD #FOODIE


0 Comments