MY #OOTDRAYA FOR SYAWAL 2018


Selamat Hari Raya Aidilfitri semua. Selesai sudah ibadah berpuasa kita selama sebulan sepanjang Ramadan yang lalu. Kini Syawal menjelma dan pastinya bulan ini merupakan bulan yang dinanti-natikan kerana inilah masa untuk meraikan kemenangan setelah sebulan melakukan Rukun Islam yang ke tiga.

Bila tiba hari raya, pastinya juadah istimewa menjadi tumpuan. Menu seperti Ketupat, Nasi Himpit, Rendang, Lemang, Kuih Bahulu, Rempeyek dan macam-macam lagi menjadi santapan. Sesi kunjung mengunjung sudah menjadi tradisi saban tahun. Mereka yang tinggal di bandar mengambil peluang ini untuk pulang ke kampung berhimpun sesama adik beradik dan saudara mara. Inilah momen yang paling indah dan menyeronokkan. Paling seronok pastinya kanak-kanak kerana inilah peluang mereka untuk menjana pendapatan menerusi kutipan DUIT RAYA. Hihihi.

Selain itu, perkara yang menarik perhatian saya bila tiba Syawal adalah melihat persalinan yang digayakan. Macam-macam gaya dan stail. Meriah seperti di majlis fesyen. Kalau lihat di media sosial, meriah dengan #ootdraya.

Saya juga tidak terkecuali. Bagi saya inilah masanya untuk melaram lebih sedikit daripada biasa. Bukan selalu kita mengenakan persalinan tradisi seperti Baju Kurung dan Baju Melayu. Tambahan pula Kurta menjadi pilihan masakini buat jejaka untuk tampak lebih kasual namun masih memiliki elemen tradisional.

Tahun ini saya memilih untuk mengenakan persalinan daripada beberapa jenama. Antaranya adalah daripada pereka Eddy Mohaizz, Aaron Aziz by Jakel, Haqqi dan juga Zalia by Zalora.

Untuk Satu Syawal, persalinan baju melayu moden tanpa pesak daripada Eddy Mohaizz menjadi pilihan. Rona warna biru muda dan sampin biru gelap bercorak dipadankan bersama. Pelengkap gaya adalah capal daripada jenama Bak Tailor.







Bagi gaya Dua Syawal, saya menyarungkan persalinan baju melayu edisi Aaron Aziz oleh Jakel. Baju melayu moden tanpa pesak masih menjadi pilihan digandingan dengan sampin oleh pereka terkenal tanahair, Rizalman. Sampin yang dibeli secara atas talian menerusi Zalora ini memang menarik minat saya sehingga saya membeli dua pasang. Kebetulan pihak Zalora memberi potongan separuh harga. Berbaloi membeli.







Bagi Tiga Syawal, saya mengenakan persalinan set kurta oleh jenama Haqqi. Set kurta Haqqi Casual ini cukup selesa dengan potongan moden. Ia boleh dijadikan baju Melayu moden dengan hanya menyarungkan sampin.







Bagi jenama Zalia by Zalora, saya membeli dua pasang kurta moden. Saya akan memakai kedua-dua baju ini untuk ke acara Rumah Terbuka minggu hadapan. Jadi anda kenalah ikuti media sosial saya untuk mengetahui bagaimanakah rupa baju kurta tersebut.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN kepada seluruh pembaca setia blog saya. Terima kasih atas sokongan anda selama ini. Semoga lebaran kali ini memberi memori indah buat anda bersama yang tersayang.

Jom beraya!

#REEFISM #REEFISMTERRITORY #SELAMATHARIRAYA #OOTD #OOTDRAYA

0 Comments