Sambutan Tahun Baru Cina kembali lagi tahun 2018. Bakal menjengah kalendar pada 16 Februari 2018, saya pasti ramai yang tidak sabar untuk meraikan antara perayaan utama di Malaysia. Kita patut berbangga berada dalam negara berbilang bangsa kerana dapat menikmati kemeriahan macam-macam perayaan. Bagi menyemarakkan kehangatan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini, pihak Resorts World Genting juga tidak mahu ketinggalan berkongsi kegembiraan perayaan kali ini bersama pengunjung setia. Saya harus akui bahawa Resorts World Genting tidak pernah gagal dalam memberi hiburan terbaik kepada segenap lapisan masyarakat yang datang ke Kota keriangan ini. Saya sempat menghadiri pelancaran rasmi SkySymphony CNY Show baru-baru ini. Turut hadir di acara ini adalah Kevin Tann, Timbalan Presiden Bahagian Promosi & Hiburan Resorts World Genting.
Menerusi SkySymphony yang terletak di SkyAvenue, satu persembahan khas sempena Tahun Baru Cina diadakan bermula dari 20 Januari sehingga 4 Mac 2018. Persembahan berdurasi kira-kira lima minit akan mempamerkan 1001 bebola takal selari dengan visual dan audio yang mempesonakan. SkySymphony CNY Show dimulakan dengan simbol Yin dan Yang dibentuk oleh bebola bercahaya bersama visual kepulan awan di layar lebar LED setinggi 4 tingkat. Disusuli pula dengan formasi huruf Cina yang merujuk kepada unsur-unsur asas di alam semesta iaitu kayu, api, bumi, logam dan air. Kemudian anda akan dipertontonkan dengan dua belas binatang Zodiak Cina sambil bebola takal membentuk rupa zodiak tersebut. Choy San Yeh yang merupakan The God of Prosperity akan muncul di skrin berserta diakhiri dengan kemunculan zodiak haiwan yang mewakili tahun ini iaitu anjing. Persembahan khas ini akan berlangsung setiap jam sekali bermula 10 pagi hingga tengah malam.
Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina Resorts World Genting tidak berakhir disini. Anda boleh menyaksikan pertunjukan "Dog Dance" yang pertama di dunia yang diberi berjudul 'The Prosperity of 9' dengan sembilan maskot anjing seperti husky, Rottweiler dan German Shepherd serta banyak lagi watak menarik. Juga dihidangkan kepada pengunjung adalah perarakan Choy San Yeh bersama 8 pari-pari jelita mengelilingi ruang Resorts World Genting.
Tanpa tarian singa tidak lengkap sambutan Tahun Baru Cina. Bagi tradisi kaum Cina, tarian singa memberi simbolik dan dipercayai mampu memberi tuah dan membuang tenaga negatif. Jadi jangan lupa untuk untuk menyaksikan persembahan tarian singa Kwong Ngai dengan 8 singa emas serta pertunjukan akrobatik di SkyAvenue. Persembahan ini akan berlangsung dari 14 Februari hingga 4 Mac 2018 di sekitar lobi hotel dan SkyAvenue mall.
Selain itu, tarian singa akan berarak sepanjang ruang pada hari kedua Tahun Baru Cina iaitu 17 Februari yang diserikan oleh Pertubuhan Kun Seng Keng Lion & Dragon Dance. Ada lagi! Pertunjukan bunga api akan mewarnai langit Resorts World Genting pada 15 dan 23 Februari serta pada 2 Mac 2018.
Raikan sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama Resorts World Genting kerana anda pasti akan terhibur dengan seleksi persembahan terbaik sempena musim perayaan ini. Saya percaya ada dikalangan anda yang mengambil kesempatan sempena cuti perayaan untuk berlibur bersama keluarga dan teman. Layari www.rwgenting.com untuk butiran lanjut. Gong Xi Fa Cai!
#REEFISM #REEFISMTERRITORY #SKYSYMPHONY #RESORTSWORLDGENTING
0 Comments