Langkawi atau dikenali dengan Langkawi Permata Kedah merupakan gugusan 99 buah pulau yang kini menjadi lokasi pelancongan terkenal di Malaysia dan di dunia. Langkawi yang telah mendapat taraf sebagai pulau bebas cukai sejak 1987 telah berkembang pesat sebagai pusat pelancongan yang sering menjadi pilihan untuk dilawati. Ini kerana pulau yang terkenal dengan legenda Mahsuri ini mempunyai pelbagai tarikan tersendiri. Lebih membanggakan apabila Langkawi telah dinobatkan sebagai Langkawi UNESCO Global Geopark, satu-satunya geopark antarabangsa yang merangkumi hampir keseluruhan Kepulauan Langkawi, Kedah dan merupakan geopark Global UNESCO ke-52 di dunia dan pertama di Asia Tenggara.
Saban tahun, Langkawi tidak pernah sunyi dari kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara. Malah terdapat beberapa syarikat penerbangan antarabangsa telah mewujudkan penerbangan terus ke Langkawi bagi memudahkan para pelancong berkunjung terus ke Langkawi. Sudah pasti banyak tempat menarik di Langkawi yang menarik minat orang ramai untuk berkunjung ke pulau yang kaya dengan geowarisan dan budaya ini. Jadi bagi anda yang merancang dan masih memikirkan senarai aktiviti menarik sepanjang di Langkawi, saya senaraikan beberapa lokasi menarik di Langkawi sebagai panduan anda.
Masih mencari penginapan sepanjang berada di Langkawi? Anda boleh menempah penginapan di Telaga Terrace Boutique Hotel yang terletak kira-kira 800 meter dari pekan Pantai Chenang. Apa yang menariknya tentang Telaga Terrace Boutique Hotel ini adalah konsepnya persis hotel dan resort di Bali. Walaupun dari luar ia tampak seperti bangunan biasa, saat masuk ke ruang dalam bangunan, anda pasti teruja dengan rekabentuk Telaga Terrace Boutique Hotel ini.
Antara yang menarik perhatian saya adalah penginapan ini menyediakan ruang santai di setiap luar bilik, bahagian siling mandi yang telus kepada cahaya matahari dan kolam renang yang seakan-akan seperti di Bali. Walaupun lokasi Telaga Terrace Boutique Hotel berada di pinggir Jalan Pantai Chenang, ia mempunyai pelbagai kemudahan berhampiran seperti kedai serbaneka, kedai makan, klinik, farmasi, pusat dobi, premis agensi pelancongan dan hanya berjarak 400 meter dengan Muzium Laman Padi. Jangan lupa untuk mencuba Nasi Lemak semasa sarapan pagi di Telaga Terrace Boutique Hotel kerana memang sedap!
TELAGA TERRACE BOUTIQUE HOTEL
JALAN PANTAI CHENANG,
07000 LANGKAWI, MALAYSIA.
TELEFON: +604 955 3435
INSTAGRAM: @telagaterraceboutiquehotel
NIKMATI SUNSET DINNER CRUISE DENGAN TROPICAL CHARTERS LANGKAWI
Tidak sah kunjungan ke Langkawi kalau tidak melibat keindahan matahari terbenam atau sunset bukan? Mahu menikmati sunset dalam suasana mewah? Anda boleh mengambil Sunset Dinner Cruise dengan Tropical Charters Langkawi. Pakej Sunset Dinner Cruise ini bukan sahaja akan membawa anda menyusuri laut sambil melihat panorama indah pulau Langkawi selama 3 jam, malah anda juga akan disajikan dengan sajian ala bufet yang lazat dan juga mandi-manda di Salt Water Jacuzzi sepanjang trip ini menyusuri Laut Andaman. Ramai selebriti tempatan pernah menggunakan servis syarikat ini antaranya Wany Hasrita, Ruhainies, Datin Diana Danielle.
TROPICAL CHARTERS LANGKAWI
TELEFON: +6012-316 5466/+604-955 3407
INSTAGRAM: @tropicalchartersofficial
ISLAND HOPPING DENGAN JETSKI TOUR MEGA WATER SPORTS
Mahukan cabaran dan keseronokan berganda melawat pulau-pulau kecil di Langkawi? Anda boleh mengambil pakej Jetski Tour Mega Water Sports. Pilhan saya? Sudah tentu Dayang Bunting Island Tour kerana ianya berbaloi dan ini adalah pakej yang paling popular di Mega Water Sports. Menerusi pakej ini, anda boleh menunggang jetski secara solo atau dengan pasangan menjelajah 8 pulau selama 4 jam.
Sudah pasti highlight tour ini adalah meneroka Pulau Dayang Bunting dimana ditengah pulau ini terdapat tasik air tawar terbesar di Malaysia. Anda akan diberi masa untuk mandi di tasik ini. Selain itu, anda akan dibawa untuk berehat sebentar di Pulau Beras Basah sebelum pulang ke tanah besar. Jangan risau! Saya yang tak pernah membawa jetski dan tak pandai berenang pun boleh bawa jetski ini dengan jayanya! Anda akan bersama wakil Mega Water Sports sepanjang island tour ini dimana beliau akan memberi tunjuk ajar dan juga menjaga anda sepanjang tempoh itu. Pakej ini termasuk perlindungan insurans sebanyak RM 5 juta. Ramai juga selebriti yang menggunakan servis mereka antaranya Dato’ Aaron Aziz, Nora Danish, Dato’ Farid Kamil dan isteri Datin Diana Danielle.
MEGA WATER SPORTS LANGKAWI
TELEFON: +60123890801/+60126450801/+60193161933/+60193344282
INSTAGRAM: @megawatersports
MAKAN TENGAHARI DI RESTAURANT MARHABA LANGKAWI SKYCAB
Sebelum menaiki kereta kabel di Langkawi, isi perut anda dengan sajian makanan Arab di Restaurant Marhaba Langkawi. Restoran ini yang terletak di Oriental Village menyajikan menu lazat dari Timur Tengah dengan ruang premis yang cukup selesa.
RESTAURANT MARHABA LANGKAWI
ORIENTAL VILLAGE,
F1, JALAN TELOK BURAU,
07000 LANGKAWI.
TELEFON: 018-919 8780
MENAIKI CABLE CAR DI LANGKAWI SKYCAB
Tidak sah kunjungan anda ke Langkawi jika tidak merasai pengalaman menaiki kereta kabel paling curam di dunia, pemenang anugerah Langkawi Cable Car atau dikenali sebagai Langkawi Skycab. Menjadi antara produk pelancongan utama di Langkawi, Langkawi Skycab memberi pengalaman menarik menaiki gondola merentasi panjang 2.2 km dari Teluk Burau hingga ke Gunung Machinchang. Terdapat beberapa jenis pilihan untuk dinaiki samada Bottom Glass Gondola, 360° Gondola,Private Gondola atau VIP Gondola yang berharga RM550. Anda pasti terpukau melihat panorama Langkawi terbentang luas sepanjang perjalanan menuju ke puncak.
Tiba di atas, anda berada 708 meter dari aras laut, lebih tepat lagi di puncak kedua tertinggi Gunung Machinchang. Di atas, anda boleh bergambar di Langkawi SkyBridge, jambatan melengkung sepanjang 125 meter yang berada di ketinggian 700 meter dari aras laut. Sekali lagi anda pasti terpesona dengan keindahan bumi Langkawi. Alang-alang sudah berada di atas, jangan lupa mencuba Teh Tarik Machinchang di SkyBistro, terletak di ketinggian 700 meter dari aras laut. Langkawi SkyCab bukan sekadar Langkawi SkyBridge sahaja. Anda boleh singah di SkyRex, SkyDome, 6D Cinemation, the first outdoor entertainment 6D Cinemotion in Asia.
LANGKAWI SKYCAB
JALAN TELAGA TUJUH,
07000 LANGKAWI, KEDAH
TELEFON: 04-959 4225/1225
INSTAGRAM: @langkawiskycab
TENGOK SUNSET DI PANTAI CHENANG
Selain naik cruise, anda masih boleh tengok matahari terbenam atau sunset dekat Pantai Chenang dan ianya PERCUMA! Memang tidak dapat dinafikan panorama senja di Pantai Chenang cukup indah dan memukau. Sepanjang pantai Chenang ada tedapat beberapa deretan kedai makan yang boleh anda jamu selera sambil melihat keindahan pantai Chenang di waktu matahari terbenam.
MAKAN MALAM DI RESTORAN KERISIK LAMAN PADI LANGKAWI
Seharian berjalan, perut pasti lapar bukan? Apa kata singgah makan malam berkonsepkan makan tepi sawah di restoran Kerisik Laman Padi Langkawi. Banyak pilihan makanan Melayu asli yang boleh anda pesan dan cuba. Menariknya, terdapat menu Nasi Etnik Sunda dimana menu ini terdiri daripada nasi dan lauk pauk yang dihidang di dalam dulang/talam. Restoran Kerisik Laman Padi Langkawi ini dibuka setiap hari pada dua sesi iaitu 11 pagi – 3 petang dan 6 petang – 10 malam.
RESTORAN KERISIK LANGKAWI
MUZIUM LAMAN PADI,
KAMPUNG LUBOK BUAYA,
07000 LANGKAWI, KEDAH.
INSTAGRAM: @lamanpadilangkawi
MENYUSURI DAN MENEROKA KAWASAN HUTAN PAYA BAKAU DI KUBANG BADAK BIOGEOTRAIL
Meneroka dan menyusuri hutan paya bakau menghijau dan subur antara aktiviti menarik yang sering dilakukan pengunjung ke Langkawi terutama mereka yang gemar menghayati keindahan alam sekitar. Satu lagi pilihan destinasi menarik di Langkawi iaitu Biogeotrail Kubang Badak. Mula dibuka kepada pengunjung pada tahun 2016, biogeotrail Kubang Badak mempunyai tiga tarikan utama iaitu biologi, geologi dan budaya.
Biogeotrail Kubang Badak mempunyai 10 titik penemuan atau tempat menarik iaitu pangkalan nelayan, pusat maklumat, Pulau Kubang Badak, Sungai Siam, landskap menarik, mata air panas, Pulau Jemuruk, Pulau Dangli, Tanjung Buta dan beting pasir. Anda akan dibawa menelusuri Sungai Siam yang menyimpan banyak sejarah mengenai tinggalan perkampungan masyarakat itu.
Seterusnya, anda akan menuju ke Bukit Menora, satu lagi lokasi yang memiliki nilai sejarah yang mengujakan untuk diteroka dimana ia kaya dengan hutan tropika, flora dan fauna termasuk pokok herba. Kewujudan gok (dapur atau relau) untuk membuat arang yang dibina dengan batu-batuan sungai disusun rapi di sekitar Bukit Manora dan juga penemuan serpihan mangkuk dan gelas lama antara keunikan di sini.
Kembali menaiki bot, anda akan meneruskan penjelajahan ke Bukit Pinang untuk melihat Gua Pinang, gua batu kapur yang terhasil daripada batu kapur Formasi Setul berusia Ordovisi sehingga Silur (505-390 juta tahun). Gua Pisang terbentuk kesan daripada proses luluhawa kimia dan hakisan ombak lebih 6000 tahun lampau, kini berada 15 meter daripada paras laut sekarang. Gua Pisang yang juga merupakan antara gua terbesar di Langkawi menampung ribuan himpunan kelawar antaranya spesies Kelawar ladam bulat Kunz (
Hipposideros kunzi) dan Cecadu gua (
Eonycteris spelaea).
Anda juga akan dibawa melihat fenomena buih gas yang muncul dari mata air panas air laut di Tanjung Ayer Mendidih. Aktiviti lain yang boleh anda lakukan adalah snorkeling di Pulau Jemuruk.
BIOGEOTRAIL KUBANG BADAK
JETI KUBANG BADAK,
07000 LANGKAWI, KEDAH.
TELEFON: 013-4455644
INSTAGRAM: @kubangbadak
MELIHAT BUAYA TERBESAR DI MALAYSIA DI LANGKAWI CROCODILE ADVENTURELAND
Langkawi Crocodile Adventureland Langkawi terletak di Jalan Teluk Datai Bay, sekitar setengah jam perjalanan dari Bandar Kuah dan 20 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Ditubuhkan pada tahun 1993 dan juga merupakan rakan Geopark dari UNESCO Global Geopark, Langkawi Crocodile Adventureland juga didaftarkan dengan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dan Spesies Terancam. Disini anda akan terpukau dengan koleksi buaya terbesar dan hampir 4000 buaya dari spesimen muda hingga lebih dewasa seperti buaya Tomistoma, Siam, Guinea dan Air Asin (Buaya Tembaga). Menarik lagi, ia juga merupakan rumah bagi buaya yang paling menakutkan dan salah satu antara buaya terbesar di dunia, “Bujang Lang", buaya air masin seberat 1000 kilogram. Aktiviti lain yang boleh anda lakukan di Langkawi Crocodile Adventureland adalah memberi buaya makan, melihat pertunjukan lagak ngeri, dan beramah mesra bersama spesies dinosaur di Jurassic Croc dan banyak lagi. Langkawi Crocodile Adventureland dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
CROCODILE ADVENTURELAND LANGKAWI
JALAN TELUK DATAI,
MUKIM AIR HANGAT,
07000 LANGKAWI, KEDAH.
TELEFON: 04-959 2559 / 04 – 950 2061
INSTAGRAM: @crocodileadventureland
MELAWAT KOMPLEKS KRAF LANGKAWI
Siapa kata melawat kompleks Kraf membosankan? Singgah dan terokai Kompleks Kraf Langkawi kerana anda pasti teruja. Kompleks Kraf Langkawi merupakan salah satu destinasi utama pelancongan di Pulau Langkawi dan juga pusat kraf setempat yang mempamerkan pelbagai produk kraf autentik seperti batik, anyaman, ukiran kayu, logam, seramik serta aneka produk kraf. Anda boleh juga terlibat dengan beberapa aktiviti interaktif seperti merwarna batik dan membuat labu sayong. Kompleks Kraf Langkawi dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang.
KOMPLEKS KRAF LANGKAWI
JALAN TELUK YU, MUKIM BOHOR,
07000 LANGKAWI, KEDAH.
TELEFON: 04-959 1913
LAMAN SESAWANG:
INSTAGRAM: @komplekskraflangkawi
MAKAN MALAM DI SANTAI @ KUZA & LUKE CAFÉ
Mahu makan malam citarasa barat? Boleh singgan di Santai @ Kuza & Luke Café yang terletak di Jalan Pantai Kok. Kafe yang diusahakan oleh dua anak tempatan ini sudah beroperasi sejak 2014 dan bermula dengan sebuah kafe kecil, atas sambutan hebat kini premis mereka telah mengalami transformasi dari segi keluasan. Banyak pilihan menu barat dan juga tempatan untuk anda cuba termasuk Pisang Goreng Cheese yang menjadi best seller disini. Santai Café dibuka setiap hari kecuali Ahad dari jam 5.30 petang hingga 11.30 malam.
SANTAI @ KUZA & LUKE CAFÉ
132, JALAN PANTAI KOK
KG BATU ARA, KUALA TERIANG
07000 LANGKAWI, KEDAH.
TELEFON: 04-955 2702
INSTAGRAM: @santailangkawi
BERMESRA DENGAN HAIWAN DI LANGKAWI WILDLIFE PARK
Cipta keseronokan dengan berinteraksi bersama pelbagai jenis spesies haiwan dari burung, landak, ular, buaya, rusa, monyet dan banyak lagi. Lebih mengujakan apabila anda diberi peluang memberi makan, membelai, dan menimang haiwan-haiwan ini. Langkawi Wildlife Park sebelum ini dikenali sebagai Langkawi Bird Paradise telah dibuka pada 30 November 2002 yang kemudiannya dirasmikan pada 24 Disember 2002 oleh Menteri Besar Kedah. Namanya ditukar menjadi Langkawi Wildlife Park pada 1 Januari 2006 setelah kawasan ini dibesarkan bagi menampung bilangan haiwan yang semakin bertambah.
LANGKAWI WILDLIFE PARK
LOT 1485, JALAN AYER HANGAT,
KAMPUNG BELANGA PECAH,
07000 LANGKAWI, KEDAH
TELEFON: 04 966 5855
INSTAGRAM: @langkawiwildlifepark
MELAWAT UNDERWATER WORLD LANGKAWI
Underwater World Langkawi adalah salah satu akuarium laut dan air tawar terbesar di Asia Tenggara. Sejak ia mula beroperasi pada 26 Ogos 1995, Underwater World Langkawi telah menjadi salah satu destinasi pelancongan yang mesti dikunjungi di Langkawi dan telah menarik sejumlah besar pelancong asing dan tempatan. Anda pasti akan terpegun kerana terdapat pelbagai spesies laut disini termasuk penguin,ikan jerung, ketam, dan banyak lagi. Anda pasti terasa di alam lautan bila berkunjung ke sini! Jangan lupa untuk membeli coklat atau barangan bebas cukai sebelum menuju ke pintu keluar.
UNDERWATER WORLD LANGKAWI
PANTAI CENANG, MUKIM KEDAWANG,
07000 LANGKAWI, KEDAH.
TELEFON: +604-955 6100
INSTAGRAM: @underwaterworldlangkawi
MAKAN TENGAHARI DI PARADISE 101 LANGKAWI
Bukan Langkawi ada 99 gugusan pulau ke? Mana datangnya pulau ke 101? Itulah keajaiban Langkawi. Asalnya dua buah pulau kecil yang terletak berhadapan Pantai Kok ini dibina sebagai perlindungan dari ombak Tsunami. Namun pulau yang ke 101 atau dikenali sebagai Paradise 101 Langkawi kini dijadikan tarikan terbaru di Langkawi.
Membawa slogan Relax, Play, Refresh, Paradise 101 Langkawi menjadi Langkawi’s number one eco-friendly private day-resort island. Anda boleh bersantai sepanjang hari di tepi pantai atau menjamu selera, bermain sukan air seperti kayak, jetski, menaiki cruise dan nikmati malam di restoran dan bar disini bersama rakan dan keluarga. Semua keseronokan ada di Paradise 101 Langkawi. Anda boleh akses Paradise 101 Langkawi dengan bot penumpang yang terletak berhampiran Telaga Harbour Pantai Kok Langkawi.
PARADISE 101 LANGKAWI,
TELAGA HARBOUR MARINA LANGKAWI,
07000 LANGKAWI, KEDAH.
TELEFON: 04-965 0300
INSTAGRAM: @paradise101langkawi
Jadi, sudah tidak sabar mahu bercuti ke Langkawi? Sebenarnya ada banyak lagi tempat menarik dan aktiviti yang anda boleh lakukan di Pulau Langkawi bergantung kepada kehendak anda. Apa yang pasti, produk pelancongan Langkawi boleh dinikmati samada anda datang bersendirian, bersama keluarga mahupun dengan sahabat handai. Orang asing amat menggagumi dengan keindahan pulau Langkawi, jadi kita sebagai rakyat Malaysia patut berbangga kerana Langkawi berada di mata dunia. Apa tunggu lagi, pack your bag and Cuti – Cuti Malaysia! Layari
https://naturallylangkawi.my/ untuk maklumat lanjut.
#REEFISM #REEFISMTERRITORY #NATURALLYLANGKAWI #LANGKAWI #TRAVEL #CUTICUTIMALAYSIA
2 Comments
last pi Langkawi thn 2005. pasti dah byk yg berubah...
ReplyDeleteWow bestnya dgr cerita bercuti kat langkawi ni...teringin nak berjalan jugak lepas covid ni...hehe
ReplyDelete